
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
MedSafetyWeek 2026
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) turut menyertai kempen tahunan #MedSafetyWeek yang berlangsung dari 2 hingga 8 November 2026. Kempen ini merupakan inisiatif global melibatkan 130 buah negara, yang diterajui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Tahun 2026 merupakan tahun keenam Malaysia menyertai kempen ini.
Dengan tema “Side effects – Don’t ignore them, report them”, kempen #MedSafetyWeek ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran anggota kesihatan dan orang awam tentang kepentingan mengenal pasti dan melaporkan kesan sampingan ubat kepada KKM, supaya keselamatan ubat-ubatan di pasaran dapat dipantau.
Ubat-ubatan memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan, namun penggunaannya juga boleh menyebabkan kesan sampingan. Sesetengah kesan sampingan boleh berlaku sejurus selepas pengambilan ubat, manakala ada yang hanya muncul selepas ubat digunakan untuk suatu tempoh yang lama. Terdapat kesan sampingan yang mudah dilihat dan dikenal pasti, dan ada juga yang dapat dikesan hanya melalui pemeriksaan atau ujian tertentu.
Justeru, KKM menyeru semua pengguna dan anggota kesihatan supaya sentiasa peka terhadap pelbagai jenis kesan sampingan ubat-ubatan dan melaporkannya apabila berlaku.
Maklumat lanjut berkaitan cara melaporkan kesan sampingan boleh didapati di laman sesawang NPRA (www.npra.gov.my) atau dengan merujuk kepada fasiliti kesihatan terdekat. Setiap laporan yang diterima menyumbang kepada pemahaman yang lebih baik tentang keselamatan ubat serta membantu pihak berkuasa regulatori (NPRA) mengambil tindakan sewajarnya untuk meminimumkan risiko kesan sampingan. Melalui pelaporan ini, keselamatan penggunaan ubat-ubatan dapat terus dipantau.
CARA MENYERTAI KEMPEN #MEDSAFETYWEEK
Sepanjang kempen #MedSafetyWeek 2026, orang ramai termasuk anggota kesihatan digalakkan untuk bersama-sama menjayakan kempen ini dengan berkongsi bahan hebahan yang disiarkan di platform media sosial Program Perkhidmatan Farmasi serta organisasi lain yang terlibat. Gunakan tanda pagar (hashtag) #MedSafetyWeek dalam setiap perkongsian bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keselamatan penggunaan ubat.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
