
6 November 2026
(Sorotan Khas PRN Ke 16 – Apa Kerajaan MADANI bantu orang Melaka)
SUNGAI RAMBAI, MELAKA – Pelaksanaan Projek Pemulihan Sungai dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai yang diumumkan Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2027 bukan sahaja bertujuan mengurangkan risiko banjir, malah berpotensi memberi kesan positif kepada kegiatan ekonomi dan kelangsungan perniagaan masyarakat setempat.
Projek yang dianggarkan bernilai hampir RM300 juta itu dijangka membantu mengurangkan risiko banjir berulang, khususnya ketika hujan lebat dan limpahan air sungai.
Keadaan ini penting kerana banjir bukan sahaja menjejaskan kediaman penduduk dan kawasan pertanian, malah boleh mengganggu operasi perniagaan, merosakkan stok barangan serta menjejaskan pendapatan peniaga kecil dan usahawan tempatan.
257 PERTUBUHAN PERNIAGAAN DIREKODKAN
Berdasarkan penerbitan Statistik Subnasional DUN Sungai Rambai oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2022, sebanyak 257 pertubuhan atau syarikat perniagaan aktif direkodkan di kawasan DUN Sungai Rambai.
Daripada jumlah itu, pecahannya mengikut sektor ekonomi adalah:
- Sektor perkhidmatan: 196 pertubuhan.
- Sektor pembinaan: 32 pertubuhan.
- Sektor pembuatan: 25 pertubuhan.
- Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan: 4 pertubuhan.
Data berkenaan menunjukkan sektor perkhidmatan merupakan antara kegiatan ekonomi utama di kawasan tersebut.
Antara jenis usahawan dan perniagaan di Sungai Rambai:
Berdasarkan kategori perniagaan yang direkodkan DOSM, antara jenis perniagaan yang beroperasi di kawasan itu termasuk:
- Pengusaha kedai makan dan restoran.
- Penjaja makanan dan minuman.
- Peniaga kedai runcit.
- Pengusaha bengkel kereta dan motosikal.
- Pengusaha pengangkutan dan penyimpanan.
- Pengusaha penginapan dan inap desa.
- Usahawan pembuatan dan produk tempatan.
- Usahawan pertanian dan tanaman.
- Usahawan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.
- Pengusaha perkhidmatan kecantikan serta perniagaan lain.
Sebagai contoh, data DOSM menunjukkan terdapat 49 gerai atau penjaja makanan dan minuman, 11 kedai runcit serta empat restoran dalam rekod kategori perkhidmatan DUN Sungai Rambai pada 2022.
150 USAHAWAN USAHAWAN DESA DAN 104 PENJAJA KECIL
Sebelum ini Mini Karnival Usahawan Desa sempena Festival D’Bendang pernah menghimpunkan:
- 150 usahawan desa.
- 104 penjaja kecil di bawah Japerun Sungai Rambai.
Antara produk yang diketengahkan termasuk makanan dan minuman, produk seramik artisan serta perusahaan cendawan.
Angka berkenaan menunjukkan kepelbagaian aktiviti keusahawanan yang terdapat dalam komuniti setempat, selain perniagaan berdaftar yang direkodkan DOSM.
PERLINDUNGAN ASET USAHAWAN
Pelaksanaan RTB Sungai Rambai berpotensi memberi manfaat kepada golongan usahawan melalui beberapa aspek:
- Mengurangkan risiko kerugian akibat banjir – Mengurangkan kemungkinan premis perniagaan, peralatan dan stok barangan terjejas akibat limpahan air.
- Menjamin kelangsungan operasi perniagaan – Mengurangkan gangguan perniagaan apabila berlaku banjir dan memudahkan peniaga meneruskan aktiviti harian.
- Melindungi kegiatan pertanian – Membantu mengurangkan risiko kerosakan tanaman dan gangguan aktiviti pengeluaran hasil pertanian.
- Meningkatkan keyakinan pelabur – Infrastruktur pengurusan banjir yang lebih baik berpotensi menjadikan kawasan berkenaan lebih kondusif untuk kegiatan ekonomi dan pelaburan.
- Merancakkan ekonomi setempat – Persekitaran yang lebih selamat daripada risiko banjir berpotensi membuka ruang kepada perkembangan perniagaan makanan, perkhidmatan dan perusahaan kecil.
Justeru, projek RTB Sungai Rambai mempunyai kepentingan yang melangkaui aspek pengurusan bencana kerana turut berkait dengan perlindungan aset ekonomi dan sumber pendapatan masyarakat setempat.
Apabila risiko banjir dapat dikurangkan, golongan usahawan mempunyai peluang lebih baik untuk menjalankan perniagaan secara berterusan tanpa terlalu dibebani gangguan bencana.
Projek RTB Sungai Rambai wajar dilihat bukan sekadar projek tebatan banjir, tetapi juga sebagai usaha melindungi ekonomi masyarakat, khususnya usahawan mikro, penjaja kecil dan pengusaha pertanian.
