Oleh Noraini Nordin
Konflik Palestin yang bagai tiada nokhtahnya sejak 75 tahun lalu turut menjadi kebimbangan Wanita KEADILAN mengenai masa depan rakyat tersebut .
Sebelum ini Wanita KEADILAN telah berulang kali menyeru supaya perang terhadap Palestin ini wajar ditamatkan segera kerana angkara perang ribuan nyawa rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa.
Wanita KEADILAN juga menyeru supaya rakyat Malaysia dan warga dunia yang anti kezaliman terus bersuara supaya kuasa besar tidak membutakan mata dan memekakkan telinga dengan kekejaman tersebut.
Bagi memahami konflik ini secara lebih mendalam
Wanita KEADILAN telah mengajurkan Forum Khas bertajuk PALESTIN – KRISIS KEMANUSIAAN GLOBAL pada 22 Oktober lalu.
Forum anjuran Jawatankuasa Bangkit Wanita KEADILAN turut dihadiri oleh pimpinan wanita pusat dan ahli-ahlinya.
Ia diadakan di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di Petaling Jaya, Selangor.
Tiga ahli panel yang diudang ialah Fadhlina Sidek selaku Ketua Wanita KEADILAN Pusat merangkap Menteri Pendidikan , Prof Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman, Naib Cancelor Universiti Selangor dan Teo Ann Siang, seorang aktivis kemanusiaan.
Forum itu diadakan sebagai suara solidariti perjuangan serta sokongan daripada wakil Malaysia kepada rakyat Palestin yang sedang berdepan detik hitam menjadi mangsa kekejaman Israel di Gaza.
Selain itu, ia juga bertujuan memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada pimpinan Wanita KEADILAN tentang konflik yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat serta sejarah perjuangan rakyat Palestin.
Prof Dr. Mohammad Redzuan memulakan perkongsiannya dengan memberi huraian tentang sejarah perjuangan rakyat dan bagaimana negara Israel diwujudkan.
Secara umumnya, kata beliau, orang Yahudi adalah pendatang kerana tiada kubur nenek moyang mereka di kawasan Tebing Barat, sebaliknya terletak di Rusia, Poland dan sebagainya.
Ini katanya berbeza dengan orang Palestin yang memang kubur nenek moyang mereka sama ada terdapat di Ramallah, Baitul Maqdis dan lain-lain tempat di sekitarnya.
Menurut beliau, negara Israel hanyalah wujud selepas berakhirnya Daulah Uthmaniah pada tahun 1924 yang daripada situ menyebabkan kewujudan beberapa negara kecil dan salah satu yang dirancang untuk diwujudkan ialah negara Israel.
“Dan konflik di Timur Tengah yang melibatkan Palestin dan Israel ini pula sudah berlarutan selama 75 tahun,” jelasnya lagi.
Begitu pun, menurut Prof Dr. Mohammad Redzuan, dalam konflik terbaru yang meletus sekarang, adalah penting untuk memahaminya secara objektif kerana media Barat cenderung menyalahkan Hamas sebagai punca segala masalah.
Ini katanya, berikutan perang tecetus kerana serangan yang dimulakan oleh pejuang-pejuang Hamas terhadap Israel pada tarikh 7 Oktober itu.
Dalam hal ini, beliau menjelaskan, pada tarikh 7 Oktober itu terdapat satu perayaan agama Yahudi yang kemudian menyusul khabar yang mengatakan akan berlaku suatu kebangkitan di Tebing Barat yang disertai dengan pemindahan briged tentera ke kawasan itu.
Katanya, apa yang berlaku ialah Israel dengan segala peralatan canggih serta perisik yang dimilikinya telah gagal mengesan kebangkitan rakyat Palestin yang melakukan serangan itu untuk membebaskan negara mereka daripada cengkaman Zionis selama ini.
Tambah Prof Dr. Mohammad Redzuan, serangan itu mengejutkan Israel kerana dalam keadaan serba kekurangan, tetapi pejuang-pejuang Hamas telah berjaya menghasilkan peralatan yang luar biasa dan mampu memberi kejutan.
Lebih membuatkan Israel marah ialah kerana serangan Hamas kali ini bukan saja sampai kepada beberapa bandar di sempadan, tetapi sehingga ke Tel Aviv, selain ramai juga orang Yahudi yang berjaya ditawan sebagai tebusan di Gaza.
“Semua tebusan Yahudi itu akan dijadikan tawar-menawar untuk membebaskan sekitar 5,000 umat Islam Palestin yang ditahan di penjara Israel,” jelas beliau.
Aktivis kemanusiaan, Teo Ann Seng memfokuskan huraiannya mengenai derita rakyat Palestin dan bantuan yang mereka perlukan untuk meneruskan kehidupan.
Katanya, derita mereka akibat perang yang sedang berlaku perlu mendapat perhatian dunia yang sewajarnya.
Fadhlina dalam perkongsiannya berkata, yang paling terkesan akibat musibah perang ini adalah kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Katanya, setiap detik kanak-kanak hidup dalam ketakutan . Masa depan dan impian untuk hidup aman telah musnah jika perang terus berlarutan.
“Anak-anak Palestin bagai hilang harapan. Mereka merayu meminta bantuan sambil menyeru di mana saudara-saudara kami. Di mana saudara-saudara?” jelasnya lagi.
Wanita-wanita mengandung juga turut terkesan kerana hospital untuk mendapat rawatan musnah dibom.
Oleh itu kata Fadhlina, rakyat Malaysia juga mesti terus bangkit bersuara supaya perang ini mesti ditamatkan segera.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Tahniah Wanita Keadilan atas perjuangan yang ditonjolkan.
Elok wanita ambik anak2 palestin sbg anak2 angkat…
Eloklalh wanita pkr ambik anak2 Palestine sbg ehsan anak2 angkat …