


6 November 2026
PAYA RUMPUT (MELAKA) : Kepelbagaian kaum perlu terus diraikan sebagai kekuatan negara, manakala keamanan dan kestabilan yang dikecapi rakyat ketika ini mesti dipelihara demi menjamin masa depan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata semangat keterbukaan, kebersamaan dan kemajuan yang menjadi sebahagian daripada sejarah Melaka perlu terus disemarakkan dalam usaha membangunkan negeri serta negara.
Beliau berkata demikian ketika berkempen bersama masyarakat Paya Rumput bagi calon Pakatan Harapan, Azman Abidin, yang bertanding sebagai calon nombor tiga.
Menurut Anwar, kekuatan Malaysia terletak pada keupayaan rakyat merangkul kepelbagaian sebagai sumber kekuatan, bukannya menjadikannya alasan untuk berbalah atau berpecah.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam keadaan dunia yang semakin bergolak, keamanan dan kestabilan negara merupakan nikmat besar yang perlu dipertahankan bersama.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa kejayaan sebenar negara bukan sekadar diukur melalui pembangunan, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan kesejahteraan rakyat, termasuk peluang pendidikan sempurna untuk anak-anak dan pembelaan terhadap keluarga yang berdepan tekanan kehidupan.
Katanya, kekayaan negara juga mesti dinikmati oleh semua lapisan masyarakat dan tidak hanya tertumpu kepada golongan tertentu.
Sehubungan itu, beliau menegaskan komitmen untuk terus memerangi rasuah serta segala bentuk penyelewengan kerana amanah rakyat tidak boleh diperdagangkan demi kepentingan peribadi.
Anwar turut menyifatkan Melaka sebagai negeri yang mempunyai sejarah panjang sebagai pusat perdagangan dan pertemuan pelbagai bangsa serta peradaban.
Beliau yakin Melaka mampu melangkah lebih jauh sekiranya rakyat terus berpegang pada nilai kejujuran, muafakat dan tanggungjawab bersama.
Menurutnya, perjuangan membina negara bukan sekadar mengejar kejayaan semasa, tetapi memastikan sebuah tatanan yang lebih bermaruah dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
