
KUALA NERUS, 5 November 2026 β Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, hari ini mengadakan lawatan kerja ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak bagi meninjau pelaksanaan Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) Wi-Fi IPTA yang menyediakan kemudahan Internet berkapasiti tinggi kepada mahasiswa dan warga universiti.
Projek yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan untuk memperluas akses digital di institusi pendidikan tinggi. Kemudahan Internet yang berkualiti bukan sahaja menyokong pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, malah membantu melahirkan graduan berkemahiran digital yang mampu memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital negara.
Menerusi pelaksanaan Projek USP Wi-Fi IPTA Fasa 2 dan Fasa 3, sebanyak 2,157 titik capaian Wi-Fi telah dipasang di UniSZA, meliputi Kampus Gong Badak, Kampus Besut dan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA). Projek ini memperluas liputan dan meningkatkan kapasiti rangkaian di kawasan pembelajaran, penyelidikan dan kolej kediaman bagi memastikan warga kampus menikmati akses Internet yang lebih baik. Selain kemudahan Wi-Fi, sebuah menara komunikasi 4G di Kampus Gong Badak, UniSZA turut mula beroperasi pada Oktober 2026 bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan rangkaian selular di sekitar kampus.
Di Terengganu, Projek USP Wi-Fi melibatkan 37 lokasi dengan nilai pelaksanaan kira-kira RM45.5 juta, merangkumi institusi pengajian tinggi awam, institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta institusi latihan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA). Sehingga 30 Oktober 2026, sebanyak 33 lokasi atau 89 peratus telah siap dilaksanakan.
Pada peringkat nasional, projek ini melibatkan 538 lokasi di seluruh negara dengan nilai keseluruhan RM634.1 juta melalui peruntukan USP. Sehingga 30 Oktober 2026, sebanyak 467 lokasi atau 87 peratus telah siap dilaksanakan, sekali gus mencerminkan kemajuan usaha Kerajaan memperluas akses Internet berkualiti tinggi di institusi pendidikan dan latihan awam.
Pelaksanaan Projek USP Wi-Fi mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memastikan institusi pendidikan mempunyai akses kepada kemudahan digital yang berkualiti dan inklusif. Usaha ini penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta melengkapkan generasi masa hadapan dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan dalam era digital.
Dikeluarkan oleh:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
βΈ»
