






Projek ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan risiko banjir, malah diharap dapat melindungi kawasan pertanian serta menjamin kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan penduduk setempat.



5 November 2026
(Sorotan Khas PRN Melaka ke – 16. Apa Kerajaan MADANI Bantu Orang Melaka)
Foto : Muhammad Nuqman Danial (Pelatih industri)
SUNGAI RAMBAI, MELAKA, 5 November 2026 – Pengumuman Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai menerusi Belanjawan 2027 mencetuskan harapan baharu dalam kalangan penduduk setempat yang mahu kawasan kediaman mereka lebih terlindung daripada ancaman banjir.
Bagi Firdaus Ismail, 40, dari Taman Sungai Rambai Indah, projek berkenaan disifatkan sebagai langkah penting dalam usaha mengurangkan risiko banjir yang sekian lama membimbangkan penduduk.
Beliau berharap pelaksanaan projek itu dapat memberi perlindungan lebih baik kepada komuniti, sekali gus mengurangkan kebimbangan setiap kali hujan lebat.
“Projek ini memberi harapan kepada kami. Kami berharap pelaksanaannya dapat membantu mengurangkan risiko banjir dan memberi ketenangan kepada penduduk,” katanya.
Harapan sama turut disuarakan Fasihah Ismail, 24, dari Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, yang mahu projek berkenaan dilaksanakan dengan segera.
“Projek ini amat dinantikan kerana memberi banyak faedah kepada penduduk,” katanya.
Banjir berulang jadi kebimbangan
Sungai Rambai bukan asing dengan kejadian banjir yang menjejaskan kehidupan penduduk. Laporan Bernama pada 3 Mac 2023 bertajuk “Mangsa banjir di Sungai Rambai siap sedia selamatkan barang setiap kali hujan lebat” melaporkan pengalaman penduduk Parit Penghulu Benteng yang terpaksa bersiap sedia memindahkan barangan berharga apabila hujan lebat.
Laporan itu menyebut Hamidah Yusak, 63, akan mengemas barangan berharga untuk dipindahkan ke tempat tinggi kerana bimbang rumahnya ditenggelami air.
Kejadian banjir turut menyebabkan penduduk beberapa kampung terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Bernama pada 30 Disember 2025 melaporkan limpahan Sungai Rambai menjejaskan Kampung Parit Perawas Benteng dan Kampung Tasek Benteng.
Enam kawasan dikenal pasti berisiko
Dalam laporan pada 31 Disember 2025, Bernama turut menyebut sebanyak 46 parit dalam kawasan DUN Sungai Rambai dikategorikan sebagai sungai dan memerlukan penyelenggaraan berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun.
Laporan itu turut mengetengahkan keperluan penyelenggaraan saliran bagi membantu menangani risiko banjir di kawasan berkenaan.
Projek RTB diharap beri perlindungan lebih menyeluruh
Pengumuman RTB Sungai Rambai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pembentangan Belanjawan 2027 dilihat sebagai perkembangan penting bagi penduduk yang berdepan risiko banjir.
Bagi komuniti setempat, projek tebatan banjir bukan sekadar pembangunan infrastruktur, sebaliknya satu usaha yang berkait rapat dengan keselamatan keluarga, perlindungan harta benda dan kelangsungan kehidupan harian.
Penduduk berharap projek itu dapat dilaksanakan dengan lancar dan segera, sekali gus membawa perubahan nyata kepada kawasan yang berulang kali berdepan ancaman banjir.
