KPM Anjur Minggu Solidariti Palestin

Oleh Noraini Nordin

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menganjurkan  Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober hingga 3 November akan datang sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan mempertahankan hak dan kebebasan negara tersebut yang kini berada dalam konflik perang dengan Israel.

KPM dalam satu kenyataan berkata, ia sebagai menyahut pendirian kerajaan serta solidariti kepada nilai kemanusiaan yang mementingkan kedamaian dan keamanan sejagat.

Perlaksanaan Minggu Solidariti Palestin itu akan membabitkan semua institusi pendidikan bawah KPM iaitu sekolah, Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru di seluruh negara bagi tujuan mendidik murid-murid nilai manusiawi yang turut merangkumi asasi manusia dan sifat ihsan. 

Minggu Solidariti Palestin adalah kesinambungan penerapan nilai-nilai murni yang berteraskan sikap hormat-menghormati, kasih sayang, bertanggungjawab dan kegembiraan seperti yang terkandung dalam pendidikan sivik di sekolah. 

“Selain itu, menerusi penganjuran program ini, murid-murid turut diberi pendedahan kepada Elemen Merentas Kurikulum (EMK) khususnya yang berkaitan dengan kelestarian global,” tambah kenyataan tersebut.

Kata KPM lagi, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan sepanjang program itu dan akan disesuaikan berdasarkan kepada garis panduan sedia ada, di mana walaupun melibatkan semua murid, tetapi aktiviti kerohanian seperti solat hajat dan bermunajat hanya akan melibatkan murid-murid beragama Islam sahaja.

“Kementerian sentiasa berusaha memupuk nilai kemanusiaan dan mencintai keamanan sejagat dalam kalangan murid-murid agar sentiasa cakna dan responsif terhadap isu-isu semasa,” kata kenyataan itu.

Dalam masa sama, menurut kenyataan KPM itu, kemajuan teknologi media dan komunikasi pada hari ini menyebabkan murid-murid terdedah kepada pelbagai jenis kandungan, termasuk yang berkaitan dengan konflik antarabangsa dan krisis kemanusiaan. 

“Pelaksanaan intervensi diperlukan untuk memberi pencerahan kepada murid-murid berkenaan konflik yang sedang berlaku,” kata kenyataan itu lagi.


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *