
GENEVA, 1 November – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut siasatan segera dan bebas berhubung kematian seorang kakitangannya, Mohammad al-Shami, yang dilaporkan meninggal dunia ketika berada dalam tahanan kumpulan Houthi di Yaman.
Mangsa, kakitangan Pejabat Hak Asasi Manusia PBB di Yaman, ditahan sejak Jun 2024 dan dipercayai meninggal dunia lebih sebulan lalu sebelum keluarganya dimaklumkan baru-baru ini.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk turut menggesa pihak berkuasa Houthi memberikan penjelasan penuh serta membebaskan 71 lagi kakitangan PBB yang masih ditahan.
Menteri Penerangan Yaman, Muammar al-Eryani turut menggesa siasatan antarabangsa yang telus bagi mengenal pasti punca kematian dan pihak bertanggungjawab.
Insiden itu menambah kebimbangan terhadap keselamatan kakitangan kemanusiaan di Yaman yang kembali berdepan konflik bersenjata sejak Julai lalu. – AFP
