Kerajaan Peruntuk RM200 Juta Perkasa Institusi Pondok, AI Turut Diperkenal

KOTA BHARU, 1 November – Kerajaan MADANI memperuntukkan tambahan RM200 juta bagi memperkukuh institusi pondok di seluruh negara, termasuk meningkatkan kemudahan pendidikan dan memastikan kelangsungan tradisi keilmuan Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu penting bagi memartabatkan sistem pendidikan pondok yang menjadi benteng dalam memelihara akidah, warisan ilmu turath dan pembentukan sahsiah umat Islam.

Beliau berkata, kerajaan turut mencadangkan penerapan elemen teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam kurikulum pendidikan pondok menerusi kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Bagaimanapun, penentuan kurikulum kekal di bawah bidang kuasa institusi pondok, manakala kerajaan berperanan mengemukakan cadangan penambahbaikan bagi memastikan pelajarnya mampu menghadapi perkembangan teknologi semasa.

Beliau turut berharap institusi pondok dapat terus berkembang sehingga mampu melahirkan lebih ramai golongan berpendidikan tinggi, termasuk memberi laluan kepada pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sebarkan Salam dan Kota Bharu Berselawat di Dataran Muhammadi, Kota Bharu, malam tadi.

beritaterkini

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *