
KOTA BHARU, 1 November – Kerajaan memperuntukkan RM3.145 juta menerusi Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi memperluas kemudahan asas masjid serta meningkatkan akses rawatan dialisis kepada masyarakat di Kelantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, RM645,000 disalurkan bagi projek Wakaf Air dan Solar Masjid, manakala RM2.5 juta diperuntukkan untuk Projek Dialisis YWM-Radicare di beberapa masjid terpilih.
Inisiatif berkenaan bertujuan membantu penduduk, khususnya di kawasan luar bandar, mendapatkan kemudahan asas dan rawatan dialisis dengan lebih mudah tanpa perlu melakukan perjalanan jauh.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sebarkan Salam dan Kota Bharu Berselawat di Dataran Muhammadi, di sini, malam tadi.
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut meluluskan penyediaan teknologi pembedahan robotik di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan dan akses rawatan kepakaran di Pantai Timur.
