
KUALA LUMPUR, 6 November – Kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur, secara rasmi diisytiharkan sebagai penjara menerusi Warta Kerajaan Persekutuan yang diterbitkan pada Khamis.
Pengisytiharan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu dibuat di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 [Akta 537], meliputi keseluruhan bangunan dan tanah seluas 4,558.975 meter persegi di alamat berkenaan.
Warta itu menetapkan kediaman berkenaan sebagai penjara bagi tujuan pemenjaraan atau penahanan individu yang berada dalam tahanan sah di sisi undang-undang dan berkuat kuasa pada tarikh dokumen dimeterai.
Perkembangan itu berlaku ketika pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib, yang sebelum ini dilaporkan dibenarkan menerusi pengampunan bersyarat oleh Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu, masih memerlukan penelitian lanjut.
Dalam kenyataan berasingan, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah itu wajar ditangguhkan sementara bagi membolehkan penelitian dan penjelasan lanjut dibuat berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan.
Sepanjang tempoh penangguhan, Najib perlu kekal di tempat tahanannya ketika ini, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa berkaitan.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib turut dilaporkan telah menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Kaunter Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.
