




KUALA LUMPUR, 6 November 2026*– Malaysia perlu mempercepat usaha meningkatkan pengeluaran makanan domestik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dunia dan ancaman perubahan iklim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedudukan Malaysia yang mempunyai tanah subur serta dikelilingi laut seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.
Menurut beliau, perkara itu antara fokus utama yang dibincangkan dalam Forum Ilmuan MADANI Siri 14 yang dipengerusikannya di Bukit Kiara, malam tadi.
Forum bertemakan keselamatan dan keterjaminan makanan itu menampilkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Ketua Pegawai Eksekutif PNB Research Institute, Dr Sarena Che Omar; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad.
MEMBINCANGKAN PERSEDIAAN NEGARA
Anwar berkata, forum berkenaan turut membincangkan persediaan negara menghadapi pergolakan geopolitik berpanjangan serta risiko fenomena Super El Niño yang berpotensi menjejaskan hasil pertanian dan bekalan makanan.
Beliau turut menyambut baik cadangan supaya negara memberi tumpuan kepada tanaman yang mempunyai nilai ekonomi dan boleh diusahakan secara berdaya maju tanpa terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan.
Dalam sesi soal jawab bersama hadirin, Anwar turut menjelaskan risiko serangan siber terhadap sistem kritikal negara, termasuk kemungkinan gangguan terhadap rantaian bekalan makanan seperti yang pernah berlaku di Eropah.
Katanya, jentera kerajaan telah diarahkan memperkukuh keupayaan mengesan ancaman lebih awal dan bertindak pantas bagi menangkis sebarang serangan siber.
Beliau menegaskan, sekiranya pertahanan siber berjaya ditembusi, negara perlu mempunyai kesiapsiagaan untuk memastikan perkhidmatan kritikal terus beroperasi tanpa menjejaskan kehidupan rakyat.
Menurutnya, pasukan keselamatan siber tempatan setakat ini berjaya menangkis percubaan serangan setiap hari.
Anwar berkata, segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan dalam forum berkenaan akan diteliti secara terperinci bagi memperkukuh dasar serta strategi keselamatan makanan negara.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan kerajaan adalah memastikan rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi, mampan dan terjamin dalam apa jua keadaan.
