BITDEER BERHASRAT PERLUAS PELABURAN DI MALAYSIA, BANGUNKAN INFRASTRUKTUR AI BERTARAF DUNIA – PMX

6 NOVEMBER 2026–

Syarikat teknologi global, Bitdeer Technologies Group (Bitdeer), menyatakan hasrat untuk meneruskan pelaburan di Malaysia bagi membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) bertaraf dunia, sekali gus memperkukuh kedudukan negara dalam ekonomi digital.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat itu dinyatakan dalam pertemuan bersama pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Bitdeer, Jihan Wu serta delegasi syarikat berkenaan dalam satu kunjungan hormat, petang tadi.

Menurut Anwar, Bitdeer yang beribu pejabat di Singapura dan disenaraikan di Nasdaq merupakan syarikat teknologi yang menyediakan perkhidmatan pengkomputeran awan untuk AI serta infrastruktur perlombongan Bitcoin.

Syarikat berkenaan turut menerima status Malaysia Digital, mencerminkan penglibatannya dalam ekosistem digital negara.

Beliau berkata, pihak Bitdeer yakin terhadap hala tuju serta dasar Kerajaan MADANI dalam memacu transformasi digital dan kini sedang memperhalusi cadangan pelaburan jangka panjang bagi membangunkan infrastruktur AI di Malaysia.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa pelaburan strategik seperti itu perlu memberikan manfaat langsung kepada rakyat, khususnya melalui pewujudan peluang pekerjaan dan pembangunan kepakaran tempatan.

Katanya, aspek latihan dan peningkatan kemahiran perlu diberi penekanan bagi membolehkan rakyat Malaysia menguasai bidang berteknologi tinggi, termasuk kecerdasan buatan, kejuruteraan dan pengkomputeran termaju.

Kerajaan MADANI, katanya, akan terus memudah cara kemasukan pelaburan strategik yang berpotensi memperkukuh industri tempatan, meningkatkan keupayaan teknologi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Beliau menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi digital negara perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan dan memastikan rakyat tempatan turut menikmati manfaat daripada perkembangan industri teknologi masa hadapan.

beritaterkini

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *