




8 November 2026
SHAH ALAM (Selangor)
Pembangunan negara tidak seharusnya diukur semata-mata melalui kemajuan fizikal, teknologi dan jumlah pelaburan, sebaliknya perlu berpaksikan pembentukan insan beradab, berakhlak serta memiliki nilai kemanusiaan yang luhur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, institusi keluarga merupakan asas pembentukan masyarakat dan tunjang kekuatan negara yang perlu terus diperkukuh dalam mendepani cabaran pembangunan masa kini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 di Shah Alam hari ini.
Menurut Anwar, gagasan “menggapai di langit, mengakar di bumi” perlu dijadikan pedoman dalam mendidik generasi muda supaya mampu menguasai teknologi dan ilmu baharu tanpa mengabaikan nilai, adab, kasih sayang serta pembentukan sahsiah.
KESEJAHTERAAN KELUARGA
Katanya, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh dasar dan inisiatif bagi meningkatkan kesejahteraan keluarga, termasuk aspek kebajikan ibu dan anak, kemudahan penjagaan, sokongan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) serta pengiktirafan terhadap peranan penjaga atau caregiver.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri atas penganjuran sambutan berkenaan serta komitmen berterusan dalam memperjuangkan kesejahteraan wanita, khususnya golongan ibu, dan memperkukuh institusi keluarga.
Anwar menegaskan bahawa usaha membina sebuah negara yang maju dan berdaya saing perlu bermula dengan pembentukan keluarga yang bahagia kerana institusi itulah yang melahirkan generasi penentu masa depan negara.
“Daripada institusi keluargalah lahirnya generasi yang bakal menentukan wajah dan masa depan negara,” katanya.
