



27 Oktober 2026
Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh kawalan sempadan melalui penyelarasan operasi, pemeriksaan berasaskan risiko dan pemodenan teknologi. Sepanjang tempoh pelaporan 2026, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merekodkan 167 kes narkotik dengan rampasan 599.195 kilogram bernilai RM61.05 juta serta 20 tangkapan. Bagi penyeludupan hidupan liar, 14 kes direkodkan melibatkan rampasan bernilai RM5.88 juta serta 13 tangkapan.
βKeupayaan pemeriksaan dan pengesanan yang sentiasa dipertingkatkan,β tegas Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, ketika menjelaskan keperluan mendepani perkembangan teknologi dan perubahan modus operandi sindiket penyeludupan.
AKPS turut memperketat pemeriksaan keluar negara, selain pemeriksaan kemasukan, bagi membendung cubaan menjadikan Malaysia sebagai laluan transit atau pelepasan barangan larangan. Usaha ini disokong oleh penggunaan aset teknologi sedia ada, maklumat risikan dan kepakaran pegawai penguat kuasa.
Dalam hala tuju 5 tahun pertama, AKPS berada dalam fasa penggabungan dan perolehan pelbagai aset serta fungsi agensi penguatkuasaan sempadan. Pelaburan strategik berasaskan teknologi akan dilaksanakan dalam 3 tahun pertama penubuhannya, termasuk perluasan CCTV di pintu masuk utama negara. Pembangunan Integrated Checkpoint Management Command Centre (iCMCC) juga sedang dirancang untuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan analitik data bagi pengesanan awal jenayah rentas sempadan.
Negara kini mempunyai 127 pintu masuk antarabangsa aktif, terdiri daripada 33 darat, 65 laut dan 29 udara. Daripada jumlah pintu masuk darat tersebut, 12 menghubungkan MalaysiaβThailand. Sebarang cadangan pembukaan pintu masuk baharu perlu diteliti berdasarkan keperluan trafik, manfaat ekonomi, kesiapsiagaan operasi, keselamatan serta persetujuan negara jiran. Kapasiti laluan sedia ada juga boleh dinilai untuk melancarkan pergerakan rentas sempadan.
Teknologi sedia ada kekal relevan, namun perlu terus dipertingkatkan bagi menghadapi taktik penyeludupan yang semakin canggih. Keselamatan sempadan negara sentiasa menjadi keutamaan.
Sumber: Sesi Penggulungan Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 Peringkat Dasar oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri pada 27 Oktober 2026 (Selasa), di Dewan Rakyat, Parlimen.
