

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur berikutan ekonomi negara terus menunjukkan perkembangam yang positif.
Katanya, ini berikutan anggaran awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026 ini.
Angka itu, jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah lebih kukuh berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya.
Lebih membanggakan, kata beliau lagi, pencapaian itu juga mengatasi unjuran median ahli ekonomi isitu sebanyak 5.2 peratus.
“Alhamdulillah,” ucap Anwar nelalui laman Facebooknya.
Beliau menegaskan, ekonomi negara terus menunjukkan daya tahan meskipun dunia berdepan keberantakan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan perdagangan berikutan reformasi serta dasar yang dilaksanakan kerajaan.
“Reformasi dan dasar yang dilaksanakan Kerajaan Madani sejak lebih tiga tahun lalu telah berjaya memperkukuh asas ekonomi negara dan membolehkan Malaysia mendepani gelora ini dengan lebih yakin.
“Pencapaian ini menguatkan tekad kita untuk terus istiqamah pada landasan reformasi, memperkukuh daya tahan ekonomi serta mengimbangi tuntutan pertumbuhan, kesejahteraan rakyat dan tanggungjawab fiskal,” katanya lagi.
Anwar seterusnya memberi jaminan, Kerajaan Madani akan terus bekerja lebih kuat bagi memastikan kekuatan ekonomi ini diterjemahkan kepada lebih banyak pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan serta kehidupan yang lebih sejahtera dan bermaruah buat seluruh rakyat.
“Insya Allah,” tambahnya lagi.
