Pesan PMX – jangan cepat puas hati dengan pencapaian sendiri.

Perdana Menteri memberi pesanan, asas kepimpinan hendaklah bermula dengan sikap untuk tidak cepat berpuas hati dengan pencapaian sendiri.

Katanya, itulah semangat “itqan fil ’amal” yakni menyempurnakan setiap amanah dan pekerjaan sebaik mungkin, sambil terus memperbaiki diri dalam ilmu, akhlak, ibadah, pendekatan mengajar dan mutu kerja.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi pandangan itu dalam sesi dialog Temu Anwar Bersama Pelajar IPG Kampus Pendidikan Teknik Nilai, semalam.

Pandangan itu kemudian dikongsi Anwar dalam laman Facebooknya.

Katanya lagi, tugas seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi menjadi teladan yang sentiasa bersedia belajar, menerima perubahan dan meningkatkan kualiti diri.

“Dalam dunia yang berkembang pesat dengan kemajuan digital, kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga, guru serta bakal pemimpin perlu berani berinovasi, menguasai kemahiran baharu dan menyesuaikan pedagogi dengan tuntutan semasa,” ujarnya.

Dalam konteks berkaitan, Anwar menzahirkan keyakinan bahawa generasi muda memiliki potensi besar untuk memimpin perubahan.

Namun, katanya potensi itu hanya akan dapat direalisasikan melalui penguasaan ilmu dan kemahiran, bekerjasama erat dengan industri serta semangat yang tidak pernah luntur untuk terus mengejar kecemerlangan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *