
SOOK, 18 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh usaha meningkatkan literasi digital rakyat menerusi penganjuran Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat peringkat daerah Sook, Sabah, sebagai sebahagian daripada komitmen membina masyarakat yang lebih celik digital dan berdaya tahan terhadap ancaman siber.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) serta beberapa agensi kerajaan itu telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Pensiangan, YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup.
MCMC memaklumkan penganjuran karnival berkenaan mencerminkan komitmen berterusan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat, termasuk komuniti luar bandar dan pedalaman, memiliki pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan bagi melindungi diri daripada ancaman dalam talian, di samping memanfaatkan teknologi digital secara selamat dan bertanggungjawab.
Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan kepada pelbagai topik penting berkaitan keselamatan Internet, termasuk langkah mencegah penipuan dalam talian, perlindungan wanita dan kanak-kanak daripada jenayah seksual siber serta amalan e-dagang yang selamat. Pelbagai aktiviti interaktif turut dianjurkan bagi menyampaikan mesej keselamatan siber dengan lebih mudah difahami dan dekat dengan masyarakat.
Sebagai usaha memperluaskan kesedaran di peringkat akar umbi, MCMC turut melantik Wira Internet Selamat dalam kalangan komuniti setempat bagi membantu menyebarkan mesej penggunaan Internet yang selamat dan beretika kepada masyarakat.
Dalam lawatan ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pekan Sook, YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup turut meninjau pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan kemahiran digital yang memberi manfaat kepada komuniti melalui pembelajaran sepanjang hayat, peningkatan kemahiran dan peluang ekonomi berasaskan teknologi.
MCMC menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh tahap literasi digital rakyat serta membina masyarakat yang lebih berdaya tahan terhadap ancaman siber, sejajar dengan aspirasi negara untuk mewujudkan ekosistem digital yang selamat, dipercayai dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.
Sumber: MCMC
Sorotan Berita: Jendela Madani
