


KDPB SULTAN PAHANG BERKENAN TERIMA MENGHADAP KETUA PESURUHJAYA SPRM
Putrajaya, 19 Jun – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Sri Abd Halim Aman di Shahzan House Ampang, di sini semalam.
Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam itu, Paduka Baginda berkenan mendengar sembah taklimat mengenai perkembangan terkini SPRM serta membincangkan pelbagai perkara berkaitan usaha memperkukuh integriti dan memerangi rasuah di negara ini.
Pertemuan tersebut turut menyentuh isu-isu semasa berhubung tadbir urus, pencegahan rasuah serta inisiatif yang dilaksanakan SPRM dalam meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan.
Dato’ Sri Abd Halim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih atas perkenan Paduka Baginda meluangkan masa menerima menghadap dan mendengar sembah taklimat berhubung peranan serta perkembangan semasa SPRM.
Beliau turut menjunjung kasih atas sokongan dan keprihatinan Paduka Baginda terhadap usaha berterusan membanteras gejala rasuah demi memastikan tadbir urus yang telus, berintegriti dan berakauntabiliti di negara ini.
Dato’ Sri Abd Halim dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu pada 13 Mei 2026.
