LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI KE TURKMENISTAN 18-19 JUN 2026

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke Turkmenistan pada
18 dan 19 Jun 2026 atas jemputan TYT Serdar Berdimuhamedov, Presiden Turkmenistan.

Lawatan ini
juga merupakan lawatan balas susulan lawatan rasmi Presiden Turkmenistan ke Malaysia pada Disember
2024.

Ia merupakan lawatan julung kali YAB Perdana Menteri ke Turkmenistan dan bertepatan dengan ulang
tahun ke-30 operasi PETRONAS di Turkmenistan, yang telah beroperasi sejak 11 Mei 1996.

Beliau akan
diiringi oleh YB Datuk Seri Utama Johari Abdul Ghani, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; YB
Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Menteri Ekonomi serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan.

Semasa lawatan tersebut, beliau akan disambut oleh TYT Serdar Berdimuhamedov dalam Majlis
Sambutan Rasmi di Istana Presiden, sebelum mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat dua hala antara
Malaysia dan Turkmenistan.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan status hubungan dua hala
serta membuka ruang bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, minyak
dan gas, pertanian dan komoditi, tenaga, pelancongan, pendidikan dan kesalinghubungan antara rakyat,
digital, sains dan teknologi.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu
serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, khususnya perkembangan di ASEAN
dan rantau Asia Tengah.

YAB Perdana Menteri dan TYT Serdar Berdimuhamedov juga dijangka akan menandatangani Kenyataan
Bersama serta menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting, termasuk Perjanjian Perkhidmatan
Udara antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Turkmenistan; Memorandum Persefahaman (MoU) antara
Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri, Kementerian Luar Negeri dan Institut Hubungan
Antarabangsa, Kementerian Luar Negeri Turkmenistan; Memorandum Persefahaman antara Kementerian
Pengangkutan dan Perkhidmatan Negeri Turkmenistan; Memorandum Persefahaman antara Akademi
Sains Malaysia dan Akademi Sains Turkmenistan; serta dokumen dalam bidang minyak dan gas.

Beliau turut dijadual merasmikan Forum Malaysia–Turkmenistan bersama-sama dengan TYT Serdar
Berdimuhamedov.

Pada tahun 2025, Turkmenistan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan
negara-negara Asia Tengah.

Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turkmenistan berjumlah
RM75.80 juta, dengan eksport Malaysia bernilai RM75.50 juta, mencatatkan peningkatan sebanyak 9%
peratus berbanding tahun sebelumnya.

Turkmenistan juga merupakan destinasi pelaburan utama
PETRONAS, dengan jumlah pelaburan PETRONAS di Turkmenistan telah mencecah RM52.73 bilion
sejak tahun 1996 sehingga kini.

PUTRAJAYA
18 Jun 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *