Hubungan harmoni Kerajaan, majikan, pekerja kunci utama tarik pelaburan baharu – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
12 JUN 2026

Hubungan harmoni tripartisme antara tiga pihak utama yakni Kerajaan, majikan, dan pekerja mampu menjadi kunci utama bagi menarik pelaburan baharu dan memajukan ekonomi Negeri Perlis.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kerjasama erat ini amat penting bagi mewujudkan suasana perniagaan yang stabil, aman, dan bebas daripada masalah pertikaian industri.

Titah berkenaan dizahirkan baginda selepas berkenan berangkat mengetuai program ‘MAIPs Peduli’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Kampung Padang Pauh, dekat Kangar baru-baru ini.

Program kayuhan amal yang diadakan secara berterusan ini merupakan inisiatif MAIPs dalam usaha mengesan serta menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan berdasarkan kariah di seluruh negeri Perlis.

AGIHAN ZAKAT MAIPs

Sempena edisi kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga orang penerima asnaf terpilih iaitu Remli Abas, 67, dari Lorong Haji Saman, Jalan Kaki Bukit, Adnan Ismail, 63, dari Jalan Kaki Bukit, serta Mohd Jaffri Md Arof, 64, dari Kampung Behor Inai.

Program Kayuhan MAIPs Peduli akan terus diperkasakan sebagai manifestasi keprihatinan MAIPs dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberikan perhatian secara menyeluruh, sekali gus memperkukuhkan hubungan erat antara institusi agama dan masyarakat.

Sempena program tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra turut meluangkan masa meninjau dan dipersembahkan taklimat status terkini projek penaiktarafan Masjid Sirajuddin, Padang Pauh oleh para pegawai daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (ICU JPM PERLIS). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *