






Oleh: Sholina Osman
Foto: YTSP Perlis
11 JUN 2026
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis berjaya memperoleh pengiktirafan Google for Education Pre Reference Institution Malaysia, sekali gus menjadikannya sekolah pertama dan satu-satunya di negara ini yang menerima pengiktirafan berprestij tersebut.
Pengiktirafan ini mencerminkan kesediaan institusi pendidikan di negeri Perlis untuk mengamalkan standard pendidikan digital yang tinggi serta membina ekosistem pembelajaran yang selari dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.
Adalah diharapkan agar kejayaan yang dicapai oleh sekolah ini akan menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan yang lebih luas di negeri Perlis.
SATU-SATUNYA SEKOLAH
Pemilihan SMK Kuala Perlis oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai satu-satunya sekolah di Negeri Perlis untuk melaksanakan inisiatif AI-Powered Classroom merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan mencerminkan keyakinan KPM terhadap kemampuan sekolah ini untuk menjadi peneraju dalam menerapkan teknologi digital yang mampu memperkayakan pengalaman pembelajaran dan pengajaran.
Komitmen, kesungguhan dan keberanian untuk meneroka pendekatan baharu dalam pendidikan merupakan satu langkah yang wajar dipuji dan dicontohi.
AI-Powered Classroom merupakan antara contoh terbaik bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di bilik darjah.
PELUNCURAN BILIK DARJAH
Demikian dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian sempena Majlis Peluncuran Bilik Darjah Dikuasakan AI (AI-Powered Classroom) yang diadakan di Dewan Al-Biruni SMK Kuala Perlis.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan KPM Aniza Kamarulzaman dan Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Rose Aza Che Arifin
INISIATIF INI DIJAYAKAN
Inisiatif ini dijayakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, SMK Kuala Perlis, Google for Education, Sasbadi Sdn. Bhd., Micro Concept Tech (MCT), dan Agrobank.
Bantuan kewangan daripada Bahagian Teknologi Pendidikan, KPM berjumlah RM10,000 serta sumbangan pembelian Chromebook daripada Agrobank bernilai RM161,000 merupakan pemangkin penting dalam merealisasikan hasrat sekolah ini ke arah kecemerlangan pendidikan digital berkenaan.
Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis turut berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Program Google for Education Pre-Reference Institution Malaysia.
Pengetua SMK Kuala Perlis Norihan Kassim menandatangani dan seterusnya menyerahkan nota perjanjian kepada wakil Google, Danial Azizan Abdullah Henry, Country Lead, Google for Education (Malaysia, Brunei) dan dibalas dengan Plak Google kepada Pengetua. – JM
