
7 Jun 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan rasmi ke Tokyo bermula esok (8 Jun) hingga 10 Jun depan, atas jemputan kerajaan Jepun, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar.
Beliau akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong dan pegawai kanan kerajaan.
“Perdana Menteri akan diberikan majlis sambutan rasmi, diikuti dengan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi,” menurut kenyataan itu.
Menurut Kementerian Luar, pertemuan tersebut akan memberikan peluang penting bagi kedua-dua pemimpin untuk menyemak kemajuan hubungan dua hala dan merangka hala tuju baharu bagi kerjasama masa depan, susulan peningkatan bersejarah hubungan Malaysia-Jepun kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember, 2023.
