LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE JEPUN : 8 – 10 JUN 2026

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke Tokyo, Jepun dari 8
hingga 10 Jun 2026, atas jemputan Kerajaan Jepun.

YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Seri
Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, Menteri
Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan Usahawan
dan Koperasi, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

YAB Perdana Menteri akan disambut dalam satu Majlis Sambutan Rasmi, diikuti dengan Mesyuarat Dua
Hala bersama rakan sejawatannya, PYT Sanae Takaichi, Perdana Menteri Jepun.

Mesyuarat ini akan
memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk meneliti perkembangan hubungan dua hala serta
merintis kerjasama baharu bagi kedua-dua negara, susulan peningkatan hubungan Malaysia-Jepun
kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Disember 2023.

Bidang-bidang utama perbincangan dijangka akan merangkumi isu-isu berkaitan teknologi hijau, daya
tahan dan peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar, pertahanan dan keselamatan serantau, serta
kerjasama pendidikan tinggi.

Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai
perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Selain daripada program libat urus dua hala, YAB Perdana Menteri juga dijangka akan menyampaikan
syarahan khas di Universiti Tokyo dan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-31: Future of
Asia, sekaligus memperlihatkan komitmen berterusan Malaysia dalam usaha memperkukuh hubungan
dan memperkasa dialog bersama pihak Jepun serta rantau yang lebih luas.

Menyedari peranan berterusan Jepun sebagai sumber utama Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan rakan
ekonomi penting bagi Malaysia, Perdana Menteri turut dijadual menghadiri Sesi Meja Bulat bersama
pemimpin industri di Jepun bagi meneroka peluang-peluang pelaburan bernilai tinggi yang baharu di
Malaysia.

Jepun merupakan salah satu rakan ekonomi terpenting bagi Malaysia yang berada di kedudukan sebagai
rakan dagang kelima terbesar negara di peringkat global sejak 2024.

Pada tahun 2025, jumlah
perdagangan dua hala telah direkodkan sebanyak RM142.96 bilion (USD33.39 bilion).

Setakat Disember
2025, sejumlah 2,872 projek pembuatan dengan penyertaan Jepun telah dilaksanakan di Malaysia,
dengan jumlah pelaburan mencecah RM107.9 bilion (USD31.0 bilion).

Projek-projek ini telah menjana
347,346 peluang pekerjaan.

PUTRAJAYA
7 Jun 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *