RATIFIKASI PERJANJIAN RANGKA KERJA PERKONGSIAN DAN KERJASAMAANTARA MALAYSIA DAN KESATUAN EROPAH (MEUPCA)

16 Mei 2026

Pada 11 Mei 2026, Malaysia telah meratifikasi Perjanjian Rangka Kerja Perkongsian dan Kerjasama
antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (MEUPCA), susulan pengesahan oleh Sekretariat Majlis Kesatuan
Eropah (EU) terhadap pemakluman rasmi Malaysia yang telah dikemukakan pada 8 Mei 2026.

Ratifikasi MEUPCA oleh Malaysia dilaksanakan setelah menyempurnakan prosedur perundangan
domestik yang diperlukan bagi penguatkuasaan Perjanjian tersebut, selaras dengan Perkara 58,
perenggan 1, dan Perkara 59 Perjanjian berkenaan.

MEUPCA, yang ditandatangani pada 14 Disember 2022 di Brussels, Belgium, akan mula berkuat kuasa
setelah semua pihak menyempurnakan proses ratifikasi domestik masing-masing.

Sehingga kini, selain
Malaysia, sebanyak 21 Negara Anggota EU telah menyempurnakan proses ratifikasi masing-masing.

Ratifikasi ini menandakan satu pencapaian penting dalam hubungan antara Malaysia dan EU serta
mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh penglibatan strategik dengan salah
satu blok ekonomi dan perdagangan terbesar di dunia.

MEUPCA menyediakan kerangka kerja institusi
yang komprehensif bagi memperluas dan menyelaras kerjasama jangka panjang antara Malaysia dan EU
merentasi pelbagai sektor strategik, termasuk perdagangan dan pelaburan, keselamatan, sains dan
teknologi, teknologi hijau, tenaga boleh baharu, alam sekitar, kesihatan, pendidikan, pengangkutan,
pekerjaan, pentadbiran awam, serta pelancongan dan kebudayaan.

Langkah ratifikasi ini merupakan hasil daripada proses penelitian terperinci, konsultasi antara agensi yang
meluas serta penilaian menyeluruh oleh Kerajaan yang telah dilaksanakan secara berperingkat selama
beberapa tahun.

Bagi memastikan penilaian yang komprehensif terhadap Perjanjian ini, sebanyak 38
Kementerian dan agensi telah mengambil bahagian dalam siri konsultasi bagi meneliti implikasi MEUPCA
di peringkat Persekutuan dan Negeri, termasuk Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, terutamanya dalam
perkara berkaitan teknologi hijau, tenaga, alam sekitar, dan tadbir urus air.

MEUPCA juga dijangka akan terus memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan
berkualiti dan kerjasama ekonomi bernilai strategik, terutamanya dalam sektor-sektor berimpak tinggi
seperti tenaga boleh baharu, pembangunan mampan, pendigitalan, pembuatan termaju, teknologi hijau,
dan rantaian bekalan yang berdaya tahan.

Sehubungan itu, pelaksanaan MEUPCA diyakini akan
menyokong agenda transformasi ekonomi negara yang lebih menyeluruh di bawah kerangka Ekonomi
MADANI, termasuk usaha untuk menggalakkan pertumbuhan mampan dan inklusif, meningkatkan daya
tahan industri, mempercepatkan penerimagunaan teknologi dan inovasi, serta memperkukuhkan tadbir
urus yang baik.

EU kekal sebagai salah satu rakan ekonomi terpenting Malaysia.

Pada tahun 2025, EU merupakan rakan
dagang kelima terbesar Malaysia. Jumlah perdagangan mencatatkan peningkatan sebanyak 4.2 peratus
kepada RM228.04 bilion (USD53.36 bilion), berbanding RM218.91 bilion (USD47.95 bilion) yang
direkodkan pada tahun 2024.

Selain kerjasama ekonomi, MEUPCA turut menyediakan platform dialog yang berstruktur dan membina
bagi membincangkan isu-isu strategik serta sensitif yang menjadi kepentingan bersama, termasuk
piawaian kemampanan dan langkah-langkah berkaitan pasaran yang memberi kesan kepada eksport
Malaysia.

MEUPCA bakal menjadi platform utama bagi memperkukuh perkongsian Malaysia-EU ke arah menjana
manfaat yang lebih besar kepada Malaysia dan Negara Anggota EU dalam landskap global yang semakin
berkembang pesat.

Sebuah Jawatankuasa Bersama (JC) akan ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan MEUPCA yang
berkesan.

JC akan berfungsi sebagai mekanisme institusi rasmi untuk menyelaras pelaksanaan,
mengenal pasti keutamaan kerjasama, memudahkan dialog, serta menangani isu-isu berkaitan tafsiran
dan aplikasi Perjanjian tersebut.

JC dijangka akan diadakan secara berkala dan bergilir-gilir antara
Malaysia dan EU.

PUTRAJAYA
16 MEI 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *