





Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
26 JAN. 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Rancangan Pendidikan Negara tidak wajar dipolemikkan dengan sentimen yang memecah-belahkan.
Beliau berkata pendidikan ialah agenda pembinaan negara yang menuntut kesepakatan, bukan perbalahan politik sempit yang menghakis kepercayaan dan harapan rakyat.
“Tumpuan mesti diberikan kepada peningkatan kualiti pendidikan, jaminan akses yang adil serta pembentukan insan yang berakhlak, berfikiran kritis dan berdaya saing, bermula sejak pendidikan awal kanak-kanak, selaras dengan amalan terbaik negara-negara maju,” kata beliau dalam perkongsian di FB.
Terdahulu beliau menghadiri Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang di Permatang Pasir.
MENJADI SUMBER KEKUATAN
Anwar berkata kehadiran serta dukungan rakyat menjadi sumber kekuatan utama kepada Kerajaan MADANI untuk terus melaksanakan dasar dan polisi yang berpaksikan kesejahteraan, keadilan dan masa depan negara.
Beliau berkata Kerajaan MADANI juga kekal tegas memastikan perolehan pertahanan negara dilaksanakan secara berintegriti, telus dan bebas daripada kartel serta ketirisan.
Jelas beliau kes terpencil tidak boleh dijadikan alasan untuk mencemarkan reputasi Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan keselamatan yang memikul amanah besar mempertahankan kedaulatan negara.
“Insya-Allah, saya bersama seluruh pasukan akan terus istiqamah dan berusaha sehabis daya, dengan tekad serta amanah, demi rakyat dan masa depan negara,” tambah beliau. – JM
