Masjid harus berperanan sebagai jambatan perpaduan, bukan tembok pemisah – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
26 JAN. 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan masjid harus berperanan sebagai jambatan perpaduan, bukan tembok pemisah
sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya.

Beliau berkata institusi masjid merupakan teras pembinaan insan yang menghidupkan iman, menyuburkan tradisi ilmu serta membentuk akhlak dan adab dalam kehidupan bermasyarakat.

Beliau berkata peranan ini tidak menuntut pengorbanan prinsip atau pencairan akidah, sebaliknya menzahirkan wajah Islam yang sebenar berteraskan akhlak, ihsan dan kebijaksanaan.

“Saya menegaskan bahawa perkauman sempit dan sentimen kebencian tidak pernah menjadi ajaran agama,” kata beliau dalam hantaran di FB.

MERASMIKAN MASJID JAMEK

Terdahulu Anwar merasmikan Masjid Jamek Kubang Ulu, Seberang Perai semasa lawatan ke Pulau Pinang.

Anwar berkata Islam tidak mengizinkan permusuhan sesama manusia, apatah lagi sikap melampau yang lahir daripada kefahaman sempit, jumud dan kolot sehingga merosakkan keharmonian serta mencarik perpaduan rakyat.

“Kerajaan MADANI akan terus memperteguh syiar Islam di negara ini dengan memelihara kesuciannya, memperkasa institusi masjid dan memastikan Islam kekal sebagai sumber rahmah, keadilan serta penyatuan dalam membina masyarakat dan negara yang beradab,” kata beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *