





Laporan oleh Sholina Osman dari Krabi, Thailand
26 JAN. 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa pengukuhan agama Islam hendaklah sentiasa menjadi teras utama dalam setiap perancangan dan pelaksanaan.
Islam mengajar nilai kesederhanaan, perpaduan, toleransi serta kebijaksanaan dalam menangani perbezaan, selaras dengan keperluan masyarakat berbilang latar belakang.
Baginda bertitah, institusi agama memikul amanah besar dalam membimbing masyarakat melalui pendekatan yang berhikmah, berfakta dan berpandukan maqasid syariah, agar Islam terus difahami sebagai agama suci yang membawa rahmat, kesejahteraan dan keadilan kepada seluruh umat manusia.
RUANG YANG LUAS
βSaya melihat terdapat ruang yang luas untuk meneruskan jalinan kerjasama pelbagai bidang antara MAIPs dan Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman, Thailand termasuk dalam bidang pendidikan Islam, pembangunan institusi masjid dan surau, kebajikan ummah, pengurusan zakat dan wakaf, latihan kepimpinan Islam, pertukaran kepakaran serta perkongsian amalan terbaik dalam pentadbiran hal ehwal Islam,β titah Tuanku Raja Muda lagi.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Sembah Mengadap Tahunan oleh Ketua-Ketua atau Wakil Majlis Agama Islam (MAI) Enam Wilayah Andaman di Bilik Mesyuarat, Pejabat MAI Krabi, Ambon Saithai, Amphoe Mueang, Krabi, Thailand.
Delegasi dari Perlis yang turut serta adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin.
Turut hadir ialah Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi.
PENGUKUHAN KERJASAMA STRATEGIK
Pertemuan berkenaan memfokuskan kepada pengukuhan kerjasama strategik antara MAIPs, JAIPs dan Majlis Agama Islam Enam Wilayah Andaman, khususnya dalam peluasan kerjasama pensijilan halal serta penyelarasan komunikasi dan pelaksanaan program bersama.
Perbincangan turut mengambil maklum peluang kerjasama dalam bidang pensijilan halal apabila MAIPs melalui JAIPs diberikan kuasa peluasan akreditasi ISO/IEC 17065 bagi Pensijilan Halal Malaysia. Perkembangan ini membuka ruang kepada Perlis untuk membantu Wilayah Andaman dalam mendapatkan pengiktirafan Halal Malaysia.
Selain itu, aspek komunikasi diperkukuhkan melalui pelantikan wakil-wakil yang berkeupayaan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu, dengan Pejabat Perlis Centre of Wisdom ditetapkan sebagai pusat komunikasi sementara bagi menyelaras urusan dan maklumat bersama.
JEMPUTAN SERTA PROGRAM
Beberapa jemputan serta program susulan turut dibincangkan, antaranya Perlis International Sunnah Convention 2026, Perkampungan Sunnah 2026, Perasmian Kompleks Baharu MAIPs, perbincangan lanjutan JAIPsβAndaman, pertemuan pelajar Andaman di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) serta Festival Tahfiz Negeri Perlis.
Sempena majlis tersebut, wakil Majlis Agama Islam Enam Wilayah Andaman turut merakamkan penghargaan atas hubungan kerjasama yang terjalin erat dan menyatakan hasrat untuk memperluaskan lagi kerjasama, khususnya dalam bidang pengurusan hal ehwal Islam. – JM
