Sultan, Raja Muda Selangor saksi MoU Pembangunan Bandar Pintar Negeri Selangor

Oleh: Sholina Osman
21 JAN. 2026

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat bagi menyaksikan Majlis Pertukaran
Memorandum Persefahaman (MoU) Pembangunan Bandar Pintar Negeri Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam.

Kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan turut berangkat mengiringi Baginda ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Keberangkatan Sultan Selangor dan Raja Muda mencerminkan komitmen
negeri terhadap agenda digital bagi menjamin kesejahteraan rakyat melalui tadbir urus berdaya tahan yang memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan kualiti hidup, kecekapan perkhidmatan dan kelestarian pembangunan di Selangor.

KERJASAMA ANTARA MCMC

Majlis ini menandakan kerjasama antara MCMC dengan Kerajaan Negeri Selangor dalam memperluas pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar, meliputi penyediaan perkhidmatan Wi-Fi awam berkelajuan tinggi, peluasan rangkaian gentian optik bagi keperluan masa hadapan, pelaksanaan rangkaian generasi kelima (5G) serta pemasangan tiang pintar bagi memastikan liputan
rangkaian yang menyeluruh di seluruh negeri, di samping memperkukuh keselamatan awam, pengurusan trafik dan pengurusan banjir pintar.

Kesemua inisiatif ini akan dipantau melalui Selangor Integrated & Intelligent Operations Centre (SIIOC).

Pada masa sama, peruntukan bagi menyokong pelaksanaan inisiatif ini telah dipertingkat kepada RM450 juta, berbanding peruntukan asal RM350 juta, susulan permohonan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada MCMC.

PERTUKARAN DOKUMEN MoU

Sesi pertukaran dokumen MoU telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din serta disaksikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Bagi memacu transformasi strategik ini selari dengan aspirasi nasional Malaysia Digital 2030 dan Pelan Pendigitalan Negeri Selangor 2026-2030, Smartsel Sdn. Bhd.
(SMARTSEL), anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor, bertindak sebagai agensi pelaksana utama untuk menyelaraskan integrasi lima komponen bandar pintar termasuk mobiliti, keselamatan awam, pengurusan bencana, tadbir urus digital, serta ketersambungan industri melalui rangkaian 5G.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan teknologi termaju seperti 5G dan kecerdasan buatan (AI) memberi manfaat kepada rakyat.

MALAH MEMPERKASA KOMUNITI

Inisiatif Bandar Pintar Negeri Selangor bukan sahaja memfokuskan pembangunan infrastruktur, malah memperkasakan komuniti melalui perkhidmatan digital yang cekap, selamat dan inklusif, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.

Prakarsa Pembangunan Bandar Pintar Negeri Selangor bersedia memperkukuh transformasi teknologi bersepadu di peringkat negeri, termasuk pengintegrasian data
masa nyata daripada sensor IoT di seluruh Selangor, bagi menangani cabaran perbandaran yang semakin kompleks serta memperkukuh penyelarasan penyampaian perkhidmatan merentas agensi kerajaan negeri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *