





Oleh: Sholina Osman
21 JAN. 2026
Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, dengan kerjasama Persatuan Alumni UiTM dari seluruh Malaysia, bakal menganjurkan ‘Alumni Run 2026’ pada bulan April ini di Putrajaya.
Majlis pelancaran promosi Alumni Run 2026 MalaysiaβIndonesia dengan slogan ‘Connecting Alumni Across Border’ tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di The Expressionz Professional Suites, bersebelahan Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh hos majlis itu iaitu Presiden Persatuan Alumni UiTM Perlis, Ahmad Shamsul Baharin Mohd Hanafiah.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil, Rektor UiTM Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor selaku Penasihat 1 Persatuan Alumni UiTM Perlis, dan Penasihat 2, Profesor Datuk Dr. Haji Ahmad Redzuan Abd Rahman yang juga Mantan Rektor UiTM Perlis.
MENAMPILKAN DIMENSI ANTARABANGSA
Acara larian ini bakal menampilkan dimensi antarabangsa apabila pelepasan ‘flag-off’ dijalankan secara serentak bersama Ikatan Alumni Pelajar Indonesia se-Malaysia (IKAPIM) di Jakarta.
Persatuan Alumni UiTM Cawangan Perlis telah dilantik sebagai Penganjur Utama, bekerjasama dengan ICAN UiTM, bagi pelaksanaan program ini di Putrajaya. Program ini akan menjadi lebih istimewa dengan penglibatan alumni dari kesemua Universiti Awam Malaysia, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama alumni di peringkat nasional.
Selain itu, Alumni Run 2026 berperanan sebagai platform pelancaran dan promosi acara berkonsepkan kesihatan, perpaduan, dan jaringan antarabangsa alumni UiTM.
Penganjuran ini dijangka menghimpunkan alumni UiTM dari Malaysia dan Indonesia, memperkukuh hubungan serantau, serta mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti alumni.
Lebih daripada sekadar acara larian, Alumni Run 2026 bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, mengukuhkan silaturahim, dan memperkasa jaringan alumni rentas negara, menjadikannya satu inisiatif yang bermakna dan berimpak tinggi bagi komuniti alumni UiTM. – JM
