

9 JUN 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail amat berdukacita menerima perkhabaran nahas tragis awal pagi tadi berhampiran Gerik yang melibatkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain, telah mengorbankan 15 pelajar.
“Takziah kepada semua keluarga mangsa,” katanya dalam hantaran di FB.
Perdana Menteri mendoakan agar keluarga mangsa yang terlibat diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.
“Saya telah arahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa,” katanya.
MUSIBAH MENYAYAT HATI
Beliau berkata, musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi. Nyawa terlalu berharga dan tiada galang ganti.
Sementara itu, seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disahkan maut dan tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu daripada Hospital Gerik pada jam 1.10 pagi tadi.
“Sampai di lokasi, didapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas terbalik dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza,” menurut kenyataan itu.
PKOD APM Hulu Perak turut memaklumkan keseluruhan 48 mangsa yang terbabit, termasuk 13 orang meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua orang di hospital, manakala empat lagi mangsa tercedera. – JM