


Oleh: Sholina Osman
8 JUN 2025
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan bahawa tiada sebarang sekatan rasmi untuk ke luar negara buat masa ini ke atas aktivis dan artis grafik Fahmi Reza.
Bagaimanapun kata Razarudin
nama Fahmi telah dimasukkan ke dalam senarai pemantauan pergerakan bagi tujuan rekod dan rujukan dalaman pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ini berikutan ada siasatan kes melibatkan beliau yang masih dijalankan oleh pihak PDRM,” katanya dalam kenyataan media hari ini (8 Jun).
Razarudin berkata demikian ekoran laporan media serta reaksi awam berkaitan dakwaan sekatan pergerakan terhadap Fahmi Reza seperti yang dilaporkan semalam.
TIDAK MEMBAWA SEKATAN
Beliau menegaskan lagi bahawa senarai ini tidak membawa sekatan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada prosedur pemantauan yang lazim dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Berikutan itu, katanya terdapat kekeliruan semasa proses semakan di pintu ke luar negara pada 7 Jun 2025 yang telah menyebabkan arahan sekatan pergerakan dikeluarkan secara tidak tepat.
“Situasi ini sedang diteliti dan langkah sewajarnya akan diambil bagi memperkemas prosedur sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, PDRM kekal komited dalam melindungi dan
menghormati hak kebebasan bergerak kepada setiap rakyat Malaysia.
Tambahnya, setiap individu bebas untuk melakukan perjalanan keluar masuk negara seperti biasa, tertakluk kepada sebarang peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan undang-undang lain berkaitan. – JM