

9 JUN 2025
Tiada jet peribadi seperti yang di fitnah dan perjalanan yang dilakukan sama seperti jutaan jemaah Haji yang lain, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar.
Beliau menafikan dakwaan bahawa beliau dan suaminya, Yin Shao Loong menerima tajaan pakej haji mewah dan menaiki jet peribadi ke Tanah Suci.
“Syukur Alhamdulillah, saya dan suami berpeluang menunaikan ibadah haji sebagai tetamu Allah SWT, melalui visa mujamalah,” katanya dalam hantaran di FB.
Nurul Izzah berkata banyak hantaran dan mesej berkaitan fitnah telah dikirim kepada beliau.
DARI HAKIKAT SEBENAR
“Apabila ada sesuatu yang tidak benar tersebar begitu jauh dari hakikat sebenar, maka ia perlu diperbetulkan,” katanya.
Katanya, bagi urusan logistik, termasuk tempat tinggal dan pengangkutan, diatur oleh agensi pelancongan berlesen, Mimm Travel.
Malah beliau menaiki penerbangan komersial dan menggunakan wang simpanan sendiri.
Di Madinah, kami juga sempat menghadiri sesi ilmu bersama Sheikh Dr Omar Suleiman, Dr Tahir Wyatt, dan juga Ustaz Dr Mohd Amirul Hassan Ahmaf Tajuddin – suatu pengalaman yang sangat menyentuh hati.
MELAKSANAKAN IBADAT HAJI
Paling bermakna, beliau dapat melaksanakan ibadah Haji bersama suami, khususnya di Arafah, tempat di mana Allah SWT menurunkan ayat ke-3, Surah al-Maidah yang memberitahu bahawa Allah SWT telah menyempurnakan agama kita.
Beliau berkata, dalam kita berbeza pandangan dan bertarung dalam medan politik di dunia, jangan lah sehingga ibadah dijadikan sebagai bahan tohmahan dan fitnah.
“Biarlah kita saling mendoakan, semoga Allah SWT mengurniakan rezeki dan peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk menjadi tetamu-Nya – dalam keadaan yang dimudahkan, diterima amal, dan dijauhkan daripada fitnah manusia,” ujarnya. – JM