



Oleh: Sholina Osman
16 MEI 2025
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang baharu.
Kenyataan media UniMAP memaklumkan pelantikan berkuat kuasa mulai 10 Mac 2025 hingga 7 Mei 2026.
Ia dibuat selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 18(1) Perlembagaan UniMAP dan telah mendapat persetujuan Menteri Pendidikan Tinggi.
Bersempena dengan pelantikan tersebut, UniMAP telah mengadakan Sesi Suai Tugas (Onboarding) khas kepada Dr. Anesee di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.
KUASA AHLI LPU
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, sesi ini sebagai pendedahan menyeluruh berkaitan fungsi, tugas dan kuasa ahli LPU, selain memperkenalkan bidang keutamaan serta hala tuju strategik universiti.
“Pelantikan Dr. Anesee ini bagi memperkukuh tadbir urus universiti dan menyokong aspirasi UniMAP dalam memperkasa kecemerlangan akademik serta pembangunan teknologi dan inovasi selaras dengan dasar pendidikan tinggi negara.,” katanya.
Zaliman berpeluang membentangkan perkara berkaitan peranan serta tanggungjawab Lembaga, termasuk struktur jawatankuasa-jawatankuasa di bawahnya, serta kemudahan yang diperuntukkan kepada ahli LPU.
SURAT UCAPAN TAHNIAH
Pada majlis sama, Zaliman juga turut menyampaikan surat ucapan tahniah kepada Dr. Anesee atas lantikan tersebut.
Terdahulu, Dr Anesee turut dibawa melawat tapak projek pembangunan UniMAP bagi meninjau kemajuan dan pelaksanaan projek pembinaan utama universiti yang merangkumi Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan dan PPK Sistem Elektrik, Dewan Tuanku Canselor serta Masjid dan Pusat Islam UniMAP.
Beliau juga turut diberi taklimat berhubung pelaksanaan projek yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis, Ir. Norikhwan Abu Seman. – JM