


Oleh: Sholina Osman
16 MEI 2025
Projek inovasi pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Kedah terus mencipta kejayaan apabila projek SafeCut: Hygenic Poultry Cutter meraih pingat emas pada Pertandingan IDEANOVA 2025: – Think Big, Solve Smart – IDEANOVA for One Health.
Pertandingan ini dianjurkan secara atas talian (online) oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.
Kenyataan media POLIMAS memaklumkan projek ini telah diinovasikan oleh tiga pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Loji) dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.
Ia melibatkan Muhammad Norshahizat Mohd Arifin, Anis Nabila Anuar dan Muhammad Shafey Adwa Shahruddin.
PELAJAR INI DISELIA
“Kumpulan pelajar ini diselia oleh Azunaidi Abdul Aziz, pensyarah kursus Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Loji),” kata kenyataan itu lagi.
Projek mesin SafeCut: Hygenic Poultry Cutter adalah penambahbaikan daripada projek Chicken Cutting Machine (CCM).
Penambahbaikan ini berdasarkan kepada keperluan memenuhi One Health Element Approach di Pertandingan Inovasi IDEANOVA.
Ternyata, penambahbaikan ini berjaya
sekali gus membuktikan potensi inovasi ini untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, termasuk pengkomersialan dalam industri pemprosesan makanan.
MESIN PEMOTONG AYAM
Norshahizat berkata, SafeCut merupakan mesin pemotong ayam separa automatik yang direka untuk menghasilkan potongan ayam yang seragam, bersih dan selamat.
Ia menggunakan sistem pneumatik dengan tekanan antara 7 hingga 8 bar serta dilengkapi pintu keselamatan magnetik dan pedal kaki bagi tujuan pembersihan automatik.
“Projek ini dibangunkan selepas mengenal pasti masalah dalam proses pemotongan ayam secara manual yang kerap menyebabkan potongan tidak sekata, pembaziran daging dan risiko keselamatan kepada pengguna,” ujarnya.
MEMATUHI PIAWAIAN KEBERSIHAN
Dengan reka bentuk separa automatik ini, proses pemotongan menjadi lebih cepat, ergonomik, dan mematuhi piawaian kebersihan industri makanan.
Anis Nabila berkata, kemenangan ini amat bermakna kerana ia sebagai pengiktirafan sebagai idea terbaik.
“Ia bukan sahaja membuktikan keberkesanan projek kami, malah menyuntik semangat untuk membawa idea ini ke peringkat lebih jauh,” katanya.
Pasukan dari POLIMAS juga mendapat pingat Gangsa melalui Projek Inovasi Eco-Friendly Industrial Steam Cleaning yang diketuai Muhamad Helmi Riya’i bersama Adam Imtiaz Mohd Yusoff dan Muhammad Norshahizat Mohd Arifin
PENYERTAAN DARIPADA PELAJAR
IDEANOVA 2025, menerima penyertaan daripada pelajar Politeknik, Kolej Vokasional, Kolej Komuniti dan juga Institut Kemahiran Latihan Awam (ILKA).
Ia satu platform yang membuka peluang kepada lebih ramai pelajar TVET bagi menunjukkan bakat dan idea inovatif masing-masing.
Pengerusi pertandingan, Prof Madya Dr Sharifah Norkhadijah Syed Ismail, IDEANOVA bukan satu pertandingan ia adalah satu platform untuk mencetus idea – idea baru, membina penyelesaian releven serta menonjolkan potensi sebenar belia serta profesional pada masa kini.
UNTUK BERKONGSI IDEA
“Keberanian anda untuk berkongsi idea, bekerjasama dalam pasukan amatlah dihargai,” katanya.
Beliau berharap pengalaman ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kejayaan dan pencapaian yang dibanggakan pada masa akan datang.
“Teruskan berinovasi, berfikir secara kreatif dan menjadi ejen perubahan dalam komuniti serta industri masing-masing,” katanya.
Pertandingan IDEANOVA 2025 kali ini menawarkan hadiah berupa sijil dan pingat kepada para peserta yang berjaya. – JM