


Oleh: Sholina Osman
16 MEI 2025
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Jerman ke Malaysia Dr. Peter Blomeyer dalam satu lawatan rasmi yang berlangsung di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), Kampus Alam Pauh Putra, Arau.
Kehadiran beliau yang turut menyampaikan Siri Syarahan bertajuk “The state of relation between Germany & Malaysia today, with special consideration of the potential for cooperation in educational matters” itu disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli dan pengurusan tertinggi universiti.
Zaliman menyifatkan lawatan itu sebagai simbol hubungan erat antara UniMAP dan Jerman, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
“Kehadiran Blomeyer merupakan manifestasi komitmen bersama ke arah memperkukuh kerjasama dua hala dalam akademik, penyelidikan dan pembangunan bakat antara Malaysia dan Jerman,” katanya.
PELBAGAI BENTUK KOLABORASI
Beliau berkata, sejak tahun 2015, UniMAP telah menjalinkan pelbagai bentuk kolaborasi dengan syarikat-syarikat Jerman seperti B Braun Medical Industries, Siemens Malaysia, dan Infineon Technologies.
Antara kerjasama penting termasuk pelantikan CEO B Braun Ana Maria Braun, sebagai Profesor Adjung UniMAP, serta sokongan aktif daripada CEO Siemens Malaysia Tindaro Danze, dalam program pembangunan profesional dan TVET universiti,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan aluan.
Lawatan berkenaan turut menyerlahkan kejayaan beberapa staf UniMAP dalam membina hubungan akademik dengan institusi di Jerman.
Zaliman berkata, antara yang membanggakan ialah kejayaan pensyarah UniMA Ismail Ishaq Ibrahim yang memperoleh Biasiswa German Academic Exchange Service (DAAD) melalui program Ijazah Kedoktoran Penyeliaan Dua Negara, yang kini sedang menjalankan penyelidikan di Technische Hochschule Köln.
MENAMATKAN PENGAJIAN PASCASISWAZAH
Ujarnya, selain itu, dua lagi kakitangan UniMAP telah berjaya menamatkan pengajian pascasiswazah masing-masing di Universiti Bonn dan Universiti Teknikal Berlin, hasil daripada hubungan strategik antara UniMAP dan institusi pengajian tinggi Jerman.
UniMAP turut dilengkapi Makmal TVET bertaraf industri, hasil kerjasama dengan Siemens dan Festo, sekali gus memperkukuh pendekatan pengajaran berasaskan amali dan industri sebenar.
“Syarikat semikonduktor global Infineon juga memainkan peranan penting sebagai rakan industri dengan menyerap ramai pelajar UniMAP menjalani latihan industri dan kemudiannya ditawarkan pekerjaan,” kata beliau.
Zaliman turut menyatakan komitmen universiti untuk memperluas lagi jalinan strategik dengan institusi dan industri di Jerman menerusi program ijazah berkembar, penyelidikan bersama, mobiliti pelajar dan staf, serta latihan industri komprehensif.
TERUS MEMPERKUKUH HUBUNGAN
“Kami yakin kerjasama erat ini akan terus memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Jerman serta memberi impak besar kepada pembangunan pendidikan dan industri kedua-dua negara,” katanya.
Untuk rekod, UniMAP merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ke-17 di Malaysia, ditubuhkan pada tahun 2001 dengan nama asal Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM), berasaskan model pendidikan Jerman ‘Fachhochschule’ yang menekankan pembelajaran praktikal dan berorientasikan industri.
Kini, UniMAP merupakan salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang memberi tumpuan dalam bidang Kejuruteraan, Teknologi Kejuruteraan serta Sains dan Teknologi, dengan penekanan khusus dalam sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) dan semikonduktor. – JM