






14 MEI 2025
Kerajaan MADANI komitmen untuk memperluas peluang pekerjaan bernilai tinggi serta memperkenalkan sistem undi dalam talian (online) bagi memastikan hak rakyat tidak dinafikan oleh kekangan teknikal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan demikian setelah mendengar sendiri kegusaran pelajar dari isu peluang pekerjaan di tanah air, hinggalah kepada cabaran melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dari luar negara.
Sebaik tiba di Moscow, Anwar bersama barisan menteri Kabinet bertemu dengan bersama pelajar-pelajar Malaysia dalam sesi dialog.
LAWATAN EMPAT HARI
Beliau kini dalam rangka lawatan empat hari ke Persekutuan Rusia mulai 13 Mei sehingga 16 Mei 2025.
Dalam wacana tersebut Anwar berkongsi beberapa cabaran geopolitik semasa, termasuk pelaksanaan tarif balas oleh Amerika Syarikat (AS).
“Meskipun dunia berdepan ketidaktentuan, saya tegaskan keyakinan bahawa Malaysia mampu terus berdiri teguh berpaksikan asas ekonomi yang kukuh, serta semangat kebersamaan rakyat dari kalangan pimpinan, penjawat awam, penggerak masyarakat mahupun sektor swasta,” katanya dalam hantaran di FB.
TERLETAK PADA ANGKA
Beliau berkata, kekuatan sesebuah negara bukan hanya terletak pada angka, tetapi pada tatakelola yang baik dan iltizam untuk menoktahkan budaya kebobrokan.
“Kita tidak mahu Malaysia dikenang kerana rasuah atau perpecahan kaum dan agama,” katanya.
Anwar berkata, pemimpin harus menjauhi salah guna kuasa dan amalan memunggah kekayaan untuk diri dan keluarga, sebaliknya tampil rendah diri, mendengar pandangan rakyat untuk merangka dasar yang mengangkat darjat, harkat dan martabat negara.
Anak-anak Malaysia di luar negara pula katanya memikul amanah besar.
JIKA KITA BERJAYA
“Pelaburan berbilion ringgit oleh syarikat seperti Infineon, Google, Microsoft, NVIDIA dan ARMS hanya akan membuahkan hasil jika kita berjaya menyediakan bakat dan tenaga mahir yang mencukupi,” kata beliau.
Sehubungan itu, katanya ilmu yang ditimba di rantau asing harus diterjemah kepada daya saing negara.
“Sebelum wacana melabuh tirai, saya tinggalkan pesanan buat anak-anak untuk terus berusaha menggapai langit dengan menimba ilmu dan meneroka bidang-bidang baharu yang diperlukan negara,” katanya.
Namun dalam setiap langkah, katanya pastikan diri terus mengakar ke bumi, yakni berpegang teguh pada jati diri dan semangat kebangsaan yang membentuk kekuatan kita sebagai anak Malaysia. – JM