Harga BPI turun kepada RM2,600 per metrik tan berkuatkuasa 15 Mei 2025 – Mohamad

Oleh: Sholina Osman
14 MEI 2025

Kerajaan mengumumkan harga Beras Putih Import (BPI) di semua pintu gudang Padiberas Nasional Berhad
(BERNAS) di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada RM2,600 per metrik tan berkuatkuasa 15 Mei 2025.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini merupakan pelarasan kali kedua selepas penurunan harga pada 1 Disember 2024, daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan.

“Program subsidi BPl oleh Kerajaan Persekutuan bagi negeri Sabah dan Sarawak akan diteruskan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan media.

MENCERMINKAN KOMITMEN BERTERUSAN

Mohamad berkata, langkah ini jelas mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI yang berteraskan prinsip keprihatinan dan kesejahteraan rakyat untuk memastikan makanan ruji negara kekal mampu milik, mudah diperoleh, dan sentiasa mencukupi.

Beliau berkata, kejayaan ini adalah hasil pendekatan strategik BERNAS dalam mempelbagaikan sumber bekalan beras daripada pelbagai negara seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar – seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran tunggal.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan pasaran dan memastikan dasar-dasar yang digariskan kekal berpaksikan kepentingan rakyat dan keterjaminan makanan negara,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *