Lapan gajah mati akibat “roadkill” di Semenanjung dari 2020-2025 – NRES

Oleh: Sholina Osman
14 MEI 2025

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini (2020 hingga 2025) sebanyak lapan ekor gajah direkodkan mati akibat “roadkill” di Semenanjung Malaysia termasuk tiga daripadanya berlaku dalam tahun 2025.

Kenyataan media Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan ia satu perkara yang amat mendukacita dan memandang serius insiden kematian seekor anak gajah yang dilanggar kenderaan (roadkill) yang telah berlaku pada 11 Mei 2025, kira-kira jam 2.41 pagi di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) sempadan Gerik, Perak – Jeli, Kelantan.

Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Daerah Gerik telah menerima aduan daripada Bilik Gerakan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Gerik berhubung kejadian yang melibatkan sebuah lori 10 tan membawa muatan ayam dengan seekor anak gajah bersama ibunya.

“Kematian seekor anak gajah ini telah menyentuh hati ramai rakyat
Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

SATU KEMALANGAN TRAGIS

Jelas kenyataan itu lagi, ia bukan sekadar satu kemalangan tragis, tetapi mencerminkan cabaran besar dalam hubungan antara manusia dan alam khususnya dalam usaha kita mengekalkan kelangsungan hidup spesies liar dalam landskap yang semakin terpisah-pisah dan kehilangan kesinambungan semula jadi.

“JRTB merupakan laluan penting yang merentasi habitat gajah liar di antara hutan-hutan utama di Perak dan Kelantan,” katanya.

Lokasi ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi bagi pertembungan antara manusia dan hidupan liar, khususnya gajah.

Kajian pada tahun 2016 mendapati kawasan keliaran gajah telah berkurangan sebanyak 68 peratus akibat perubahan guna tanah untuk pertanian, perladangan, serta pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan penempatan.

4,919 ADUAN KONFLIK

Malah berdasarkan kepada rekod Jabatan PERHILITAN, 4,919 aduan konflik manusia dan gajah telah dilaporkan bagi tempoh 2020 hingga 2024.

Konflik ini termasuk kerugian harta benda yang direkodkan dan jumlah kerugian dianggarkan RM39.4 juta.

Sebagai usaha berterusan untuk menangani konflik manusia-gajah, Jabatan PERHILITAN telah melaksanakan beberapa langkah mitigasi.

Ia termasuk melakukan rondaan dan pemantauan berkala di hotspot konflik gajah sepanjang lebih 100 kilometer laluan JRTB yang berselekoh dan berpemandangan terhad.

PEMBINAAN TIGA UNIT

Juga dilakukan pembinaan tiga unit Sistem Pagar Elektrik pGajah (SPEG) kekal di Kampung Bukit Sapi – Kampung Batu Reng, RPS Air Banun dan Bersia.

Dilakukan juga pengayaan habitat dengan pembinaan dua jenut tiruan di bawah viaduct Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) A-PL1 (Hutan Simpan Temengor – Hutan Simpan Amanjaya – Hutan Simpan Belum), Gerik.

Pemasangan 19 unit papan tanda lintasan gajah di JRTB termasuk dua papan tanda gergasi dan satu papan tanda LED Elephant Crossing Monitoring Device.

Juga dilakukan pemasangan lampu jalan di 16 lokasi berisiko tinggi, dengan lapan lokasi tambahan telah dikenal pasti.

PAPAN TANDA AMARAN

Juga tambahan lokasi baharu bagi pemasangan papan tanda amaran lintasan hidupan liar.

Selain hebahan melalui media sosial, video pendek dan poster lintasan gajah semasa musim perayaan bagi meningkatkan kesedaran kepada pengguna JRTB mengenai tindakan keselamatan sekiranya berlaku pertembungan dengan gajah.

Program kesedaran awam ke arah kewujudan bersama (co-existence) bersama pemegang taruh termasuk pengguna jalan raya JRTB supaya sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling dan kehadiran gajah di sepanjang JRTB.

Pembinaan lintasan hidupan liar atau dikenali sebagai ‘viaduct’ sepanjang 200 meter di kilometer 157 Gerik – Jeli telah dibina dengan kos RM26 juta pada tahun 2015, hasil kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dibawah inisiatif projek Central Forest Spine. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *