Dr Zaliha dianugerah 3G Leadershid Award for Government Sector (Individual) 2025 kerajaan Brunei

14 MEI 2025

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menerima anugerah 3G Leadershid Award for Government Sector (Individual) 2025 pada Majlis Anugerah Tadbir Urus Baik Global ke-10 (Anugerah 3G) 2025 yang dianjurkan di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Brunei Darussalam.

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Paduka Awang Mohd Riza Datuk Paduka Mohd Yunos.

“Terima kasih kepada penganjur iaitu pihak Cambridge IFA dan rakan kerjasamanya Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) serta Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) atas pengiktirafan ini,” katanya dalam hantaran di FB.

MENGADAKAN KUNJUNG HORMAT

Dr Zaliha yang melakukan lawatan ke Brunei Darussalam sebelum itu telah mengadakan kunjung hormat kepada Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Dr. Abdul Manaf Metussin dan Menteri Pembangunan Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Awang Mohd Juanda Abdul Rashid.

Kunjungan ini bertujuan mempromosikan Borneo Flora Festival (BFF) yang bakal berlangsung di Labuan pada 26 hingga 30 Julai 2025.

Dalam pertemuan ini, Dr Zaliha turut menjemput Kerajaan Brunei untuk menyertai festival berkenaan sebagai rakan strategik serantau dalam memartabatkan pelancongan berbasis alam dan florikultur.

“Kami turut berbincang mengenai usaha mencergas dan merancakkan semula hubungan pelancongan antara Labuan dan Brunei, khususnya dalam memperkasa laluan pelancongan serantau dan memperkenalkan semula destinasi Labuan sebagai hab pelancongan Borneo yang lestari dan strategik,” katanya.

MELIBATKAN PEMINDAHAN TEKNOLOGI

Selain itu, potensi perkongsian teknologi dan pengetahuan turut dibincangkan, terutamanya antara Kementerian Pembangunan Brunei dan Perbadanan Putrajaya, melibatkan pemindahan teknologi seperti pemetaan pokok menggunakan sistem AI yang kini telah dilaksanakan sepenuhnya di Putrajaya sebagai sebahagian daripada agenda bandar pintar dan pengurusan landskap mampan.

“Alhamdulillah, secara keseluruhannya pertemuan dengan kedua-dua Menteri ini telah mencapai persefahaman yang amat positif,” tambahnya.

Dr Zaliha berkata, kerjasama teknikal susulan akan dilaksanakan antara Jabatan Wilayah Persekutuan, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan bagi memperincikan bentuk pelaksanaan yang bersesuaian. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *