





14 MEI 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah selamat tiba ke Moscow pada petang Selasa (13 Mei 2025) bagi memulakan rangka lawatan rasmi ke Persekutuan Rusia sehingga Jumaat ini (16 Mei 2025).
“Insya-Allah sepanjang lawatan ini, saya akan mengadakan pertemuan peringkat tertinggi bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, dan Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin bagi memperkukuh persahabatan Malaysia-Rusia serta merintis kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik,” katanya dalam hantaran di FB.
Beliau juga dijadualkan bertemu beberapa pemimpin industri utama Rusia untuk menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke Malaysia, selain menghadiri Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Islamic World dan KazanForum di Kazan.
“Doakan misi saya bersama delegasi Malaysia berjaya menggalas amanah besar memangkin pertumbuhan ekonomi, memperluas jaringan strategik serta membawa limpahan kemakmuran untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – JM