

Oleh: Sholina Osman
13 MEI 2025
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mengukuhkan reputasinya setelah diumumkan sebagai penerima Anugerah Kadar Graduan Pilihan Syarikat Multinasional (MNC) Tertinggi 2024.
Pemilihan ini melalui Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2024 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Anugerah berprestij itu telah disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa, sempena Majlis Anugerah Kebolehpasaran Graduan Tahun 2024 yang berlangsung di Hotel Hyatt Regency Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Pengiktirafan ini merupakan manifestasi kepercayaan kukuh syarikat-syarikat multinasional terhadap kompetensi dan potensi graduan UniMAP, khususnya dalam memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi di peringkat global.
HASIL USAHA BERSEPADU
Naib Canselor UniMAP, Datuk
Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil usaha bersepadu dan komitmen tinggi seluruh warga universiti dalam membangunkan ekosistem pendidikan yang selari dengan kehendak industri.
“Anugerah ini adalah bukti bahawa pendekatan strategik UniMAP dalam merapatkan jurang antara universiti dan industri membuahkan hasil,” katanya.
Beliau percaya pada pembangunan holistik graduan – bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga kemahiran insaniah, kepimpinan dan nilai profesionalisme.
“Kepercayaan syarikat multinasional kepada graduan UniMAP juga menunjukkan bahawa kurikulum kami sentiasa relevan dan dinamik dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 dan seterusnya,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.
TERUS MEMPERKUKUH STRUKTUR
Seiring dengan pencapaian ini, UniMAP menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh struktur dan kandungan kurikulum agar selari dengan perkembangan teknologi semasa dan tuntutan pasaran kerja global.
Tambah beliau, UniMAP akan terus memperkemas dan memperkasa kurikulum dengan elemen terkini seperti teknologi digital, kecerdasan buatan, dan kemampanan.
Hubungan strategik dengan industri juga akan diperluas untuk membuka lebih banyak peluang latihan industri dan penyelidikan kolaboratif.
SKPG merupakan kajian tahunan yang dilaksanakan oleh KPT bagi mengukur tahap kebolehpasaran graduan dan kecenderungan mereka dalam bidang pekerjaan, keusahawanan serta kesinambungan pengajian.
DALAM MERANGKA DASAR
Data ini menjadi rujukan penting dalam merangka dasar dan inisiatif pembangunan bakat negara.
UniMAP mencatat pencapaian membanggakan dalam SKPG 2024 apabila majoriti graduannya berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh yang singkat selepas tamat pengajian, terutamanya dalam sektor teknologi tinggi dan kejuruteraan – bidang yang menjadi kekuatan utama universiti berkenaan.
Kadar penyerapan tinggi ke dalam syarikat multinasional bukan sahaja mencerminkan kualiti pengajaran dan latihan UniMAP, tetapi turut mengesahkan keselarasan strategik antara visi universiti dan keperluan sebenar industri. – JM