



Oleh: Sholina Osman
13 MEI 2025
Sayanglah alam sekitar, jangan hanya sebab tamak, kita menghapuskan spesies hidupan yang perlu dijaga.
Berikutan itu Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis sentiasa memperketat penguatkuasaan terhadap sebarang yang melibatkan aktiviti penangkapan hasil laut secara haram.
Sekalipun amaran berulang kali diberikan namun kegiatan menangkap siput secara haram masih berleluasa.
Kegiatan ini hanya dapat dicegah menerusi kekerapan melakukan rondaan supaya mereka yang masih degil ini dapat ditahan.
TANPA NOMBOR PENDAFTARAN
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, terbaharu pihaknya telah menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) tanpa nombor pendaftaran pada kira-kira tiga batu nautika dari barat pesisir pantai Sungai Padang, Perlis ketika sedang leka menangkap siput menggunakan sangkar besi.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, vesel yang berpangkalan di Kuala Perlis itu dikendalikan oleh seorang tekong dan dua orang awak-awak, warga tempatan berusia 20 dan 27 tahun.
“Vesel, peralatan menangkap siput, serta hasil tangkapan dianggarkan bernilai lebih RM100,000 telah dirampas dan dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media.
SUSPEK TURUT DITAHAN
Mohd Hashim berkata, kesemua suspek turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8(a) kerana melanggar syarat lesen dan Seksyen 11(3)(c) kerana memasang peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda atau hukuman lebih berat.
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
SUPAYA MEMATUHI PERATURAN
Dalam pada itu, Maritim Malaysia mengingatkan semua pengusaha perikanan supaya mematuhi peraturan sedia ada demi kelestarian ekosistem marin.
Aktiviti menangkap siput sememangnya menjadi sumber ekonomi bagi sebahagian masyarakat, namun ia perlu dilakukan secara bertanggungjawab.
Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat dan kebenaran daripada Jabatan Perikanan Negeri Perlis sebelum menjalankan sebarang aktiviti perikanan,” tambahnya.
Maritim Malaysia turut menyeru orang awam agar melaporkan sebarang kegiatan jenayah maritim termasuk penyeludupan dan aktiviti perikanan haram.
Sebarang aduan atau kecemasan di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162, atau menghubungi talian kecemasan 999. – JM