PMX raikan Presiden China bersama delegasi dalam majlis makan malam

17 APRIL 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan Presiden China Xi Jinping bersama delegasinya dalam majlis makan malam sempena Lawatan Negara ke Malaysia di Seri Perdana.

Beliau berkata, Lawatan Negara yang pertama sejak 12 tahun lalu oleh Presiden Xi ini adalah simbolik dan lambang ikatan persahabatan sejati Malaysia-China yang telah terjalin sejak sekian lama, dan keakraban ini terus utuh dan diperkukuh atas sikap kepercayaan, hormat dan kejujuran.

Tambah beliau di saat dunia menyaksikan perubahan landskap geopolitik dan beberapa pihak meninggalkan prinsip tanggungjawab kolektif, inisiatif global yang diketengahkan oleh China membuka ruang baharu untuk pembaharuan dan kerjasama.

“Saya ulangi rasa hormat dan penghargaan atas kepimpinan Presiden Xi yang lantang membicarakan soal prinsip perkongsian kemakmuran dan mengangkat nilai ketamadunan dan kemanusiaan sejagat,” katanya dalam hantaran di FB.

SIKAP SEGELINTIR NEGARA

Perdana Menteri berkata, prinsip dan pendirian Presiden Xi nyata berbeza dengan sikap segelintir negara yang mula meninggalkan prinsip perkongsian tanggungjawab, menghalakan keutamaan untuk mengasah perseteruan dan mempersenjatakan ekonomi.

“Dalam dunia yang kian mencabar, kita melihat China tampil sebagai rakan yang rasional, stabil dan berprinsip. Malaysia menghargai kestabilan ini dan akan terus menjadi sahabat, berpaksikan sejarah dan berwawasan masa depan,” tambahnya.

Pepatah Melayu menyebut, air dicincang tidak akan putus. Begitu juga ikatan antara Malaysia dan China yang diuji waktu, namun tetap bersemi dan tidak terlerai.

“Moga persahabatan Malaysia-China terus mekar sedalam lautan, seteguh bintang di langit, dan segemilang harapan yang menyingsing kemakmuran masa depan,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *