DBKL diberi masa 4 bulan laksana proses pemutihan terhadap penjaja tidak berlesen

Oleh: Sholina Osman
17 APRIL 2025

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk laksanakan proses pemutihan terhadap penjaja tidak berlesen di seluruh Kuala Lumpur.

Proses ini akan menjadi sebahagian komponen dalam inisiatif Lestari Niaga yang sedang digerakkan sejak dua tahun lalu.

“Saya beri masa empat bulan, sehingga Ogos 2025, untuk proses ini diselesaikan,” katanya pada hantaran di FB.

Terdahulu Dr Zaliha menyantuni warga kota dalam program Semarak Aidilfitri edisi Kuala Lumpur.

PENJAJA TANPA LESEN

Dalam tempoh tersebut, kata Dr Zaliha, semua penjaja tanpa lesen diminta tampil, mendaftar dan mengikuti proses yang ditetapkan.

“DBKL pula perlu membuat penilaian yang holistik berdasarkan ekosistem penjaja dan merangka satu penyelesaian yang strategik, dan tidak bergantung kepada status quo sahaja,” katanya.

Beliau berkata, langkah ini bukan satu bentuk pengampunan mutlak, tetapi ruang untuk perbetulkan keadaan dan peluang untuk mereka kembali ke landasan yang sah.

Dr Zaliha berkata, sekiranya selepas tempoh tersebut berakhir masih ada lagi yang tidak tampilkan diri, maka tindakan penguatkuasaan akan dijalankan dengan lebih tegas.

PENTADBIRAN YANG TEGAS

Pada akhirnya, kata beliau, Wilayah Persekutuan mesti menjadi model pentadbiran yang tegas dan berprinsip, adil dalam pelaksanaan dan konsisten dalam hala tuju.

“Kita tidak boleh biarkan undang-undang dipandang ringan, apatah lagi jika ia sehingga menjejaskan kesejahteraan awam dan imej bandar raya ini,” tambahnya.

Dr Zaliha berkata, setiap bentuk perniagaan di Kuala Lumpur ini wajib berlesen dan tertakluk kepada peraturan DBKL dan melanggar peraturan itu tetap satu kesalahan serta tiada kompromi.

“Namun begitu, saya akui ada kelompongan dan ruang penambahbaikan maka sebab itu sata minta Datuk Bandar untuk menyemak kesemua prosedur berkaitan pelesenan ini, termasuk aspek penguatkuasaan yang sedang dilaksanakan,” katanya.

AMALKAN PILIH KASIH

Beliau bersetuku, tidak boleh amalkan pilih kasih dalam tindakan dan semua yang melanggar undang-undang, baik dia Melayu, Cina, India, warga asing, pengusaha gudang mahupun penjaja kecil, semuanya perlu tidak terkecuali dari tindakan.

Namun, tindakan penguatkuasaan itu katanya perlu dilaksanakan secara beehemah berasaskan SOP yang jelas dan relevan dengan cabaran semasa.

“Kita juga perlu adil dan beri ruang kepada penguatkuasa untuk laksanakan tugas mereka,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *