Polis Perlis gagalkan taktik guna kurier untuk pos empat kotak ganja bernilai RM51,646

Oleh: Sholina Osman
28 JAN. 2025

Polis Perlis berjaya gagalkan taktik guna syarikat kurier untuk pos dadah apabila seorang lelaki berusia 21 tahun diberkas bersama empat kotak putih yang didalamnya dipercayai mengandungi dadah jenis ganja seberat 16.6 kilogram (kg) bernilai RM 51,646.00.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner, Baderulhisham Baharudin berkata, perbuatan ini dikesan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perlis dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padang Besar pada pukul 3.30 petang, 22 Januari 2025 semasa suspek hendak membawa kotak berkenaan kepada sebuah syarikat kurier di Padang Besar.

Beliau berkata, dipercayai sebelum itu suspek telah menerima kotak berkenaan dari warga Thailand di bulatan Padang Besar sebelum membawanya untuk dipos di syarikat kurier.

Baderulhisham berkata, modus operandinya di mana orang Thailand telah mengupah orang tempatan sekitar RM800 untuk menghantar kotak berisi dadah ini kepada pelanggan dengan syarikat kurier.

TIADA PERALATAN “SCANNER”

“Kurier digunakan kerana tiada peralatan “scanner” bagi mengesan isi kandungan barang di dalam kotak sekaligus mudah untuk dipasarkan di seluruh Semenanjung mengikut tempahan,” katanya.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Baderulhisham berkata, tindakan juga diambil di bawah sitaanharta di bawah ADB (Pelucuthakan harta) 1988 di mana JSJN setakat ini telah menyita aset dianggarkan bernilai RM50,000.

HASIL UJIAN SARINGAN

Tambahnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamine.

Katanya, suspek direman dari 24 Januari 2025 hingga 30 Januari 2025.

Berikutan ini katanya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini dapat diselamatkan dari digunakan oleh 33,320 orang penagih. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *