Baharu keluar penjara lapan bulan, suspek ragut beg warga emas diberkas

Oleh: Sholina Osman
28 JAN. 2025

Baharu lapan bulan keluar penjara, suspek masih tidak serik apabila sekali lagi diberkas polis kerana disyaki meragut seorang warga emas di Taman Mutiara pada pukul 9.45 pagi, 20 Januari 2025.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner, Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek yang menganggur ini dikesan mempunyai lapan rekod lampau yang berkaitan samun dan juga dadah sejak 2011.

“Pada kejadian itu, wanita Cina berusia 75 tahun itu berjalan seorang diri di sebuah lorong kecil di sebuah jalan tepi Bukit Lagi, Jalan Mutiara, Taman Mutiara, Kangar,” katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kangar hari ini.

Bagaimanapun katanya, tanpa disedari datang suspek yang menunggang motosikal dari arah belakang telah meragut beg berwarna hitam yang dipegang oleh wanita berkenaan.

MENGANDUNGI WANG TUNAI

Katanya, beg berkenaan mengandungi wang tunai RM200, telefon bimbit jenis Oppo A96 dan serangkai kunci rumah.

Yusharifuddin berkata, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan itu kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 11 pagi, pada hari kejadian.

“Bertindak atas maklumat, Op Rentap/Cantas/Limau, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kangar bersama anggota Task Force IPD Kangar dan sepasukan D9 Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis telah menangkap suspek pada pukul 2.30 pagi, 23 Januari 2025 di sebuah rumah di Kampung Syed Omar, Jalan Batu Pahat, Kangar.

ENGGAN MEMBERI KERJASAMA

Beliau berkata, disebabkan suspek enggan memberi kerjasama, pintu rumah sewa berkenaan terpaksa dipecahkan.

“Berlaku pergelutan pada ketika itu apabila suspek cuba untuk melarikan diri akhirnya berjaya diberkas,” katanya.

Yusharifuddin berkata, suspek yang merupakan anak tempatan ini
dipercayai bergerak melakukan jenayah ragut ini secara “solo” secara menunggang motosikal untuk mencari mangsa yang berjalan berseorangan di laluan sunyi.

Beliau berkata, suspek dipercayai akan menyimpan motosikal jenis Modenas yang digunakan untuk kegiatan jenayah ini di dalam rumah bagi mengelak dikesan.

SEBUAH LAGI MOTOSIKAL

“Suspek juga ada sebuah lagi motosikal yang diletakkan di luar rumah bagi kegunaan seharian,” katanya.

Yusharifuddin berkata, suspek juga menanggalkan nombor plat motosikal di bahagian depan manakala plat belakang nombor motosikal ini dari 1051 diubah ke 1061.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama lima hari dari 23 Januari 2025 hingga 27 Januari 2025.

Katanya, perintah reman dilanjutkan empat hari lagi bermula dari 28 Januari 2025 hingga 31 Januari 2025 untuk disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *