





Oleh: Sholina Osman
27 JAN. 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahi dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengadakan pertemuan empat mata di Menara Berkembar Petronas sebaik sahaja selesai Sambutan Negara di Istana Negara.
“Kami berbicara panjang terkait hal ehwal kedua-dua negara tetangga dan isu-isu serantau yang menyentuh kepentingan strategik Malaysia, Indonesia dan ASEAN,” kata PMX menerusi perkongsian di FB.
Jelasnya, beliau dan Prabowo senada mahu persahabatan erat negara serumpun ini dipertahan.
Malah katanya juga diperhebatkan sama ada dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan, kerjasama dalam pelbagai bidang serta hubungan antara rakyat.
SIDANG MESYUARAT TERHAD
Kata Perdana Menteri, perbincangan kedua mereka kemudiannya diteruskan dalam sidang mesyuarat terhad yang disertai pimpinan Malaysia dan Indonesia, di mana ruang-ruang kerjasama, pelaburan dan perdagangan baharu diteroka secara bersama.
“Alhamdulillah, perbincangan yang berteraskan persefahaman, keyakinan dan kepercayaan ini membawa kepada beberapa kesepakatan, khususnya dalam merungkai beberapa isu tertunggak antara Malaysia dan Indonesia,” ujarnya.
Dalam hantaran lain di FB, Perdana Menteri juga telah mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara untuk menerima kunjungan Tamu Kenegaraan, Presiden ke Malaysia pagi ini.
Perdana Menteri kemudiannya mengiringi Sultan Ibrahim menerima Kunjungan Menghadap Presiden Prabowo, dan menyaksikan Baginda Tuanku mengurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.1) kepada Presiden Prabowo. – JM