


Oleh: Sholina Osman
27 JAN. 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima mengadap delegasi pengurusan tertinggi dari Cambodia University of Management And Technology (CUMT) di Bilik Mesyuarat, Galeri Diraja Arau baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Presiden CUMT, Dr. Hosen Mohamad Farid dan Rektornya, Dr. Nazy Sales.
Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Majlis mengadap ini adalah bertujuan bagi mewujudkan kerjasama CUMT dengan institusi-institusi pengajian tinggi di Perlis termasuklah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) yang sebelum ini adalah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis, dalam bidang penyelidikan, teknologi, khidmat masyarakat (USR), pertukaran pelajar dan beberapa bidang lain.
MENCAPAI KATA SEPAKAT
Delegasi CUMT turut mengadakan pertemuan dengan IPT-IPT di Perlis tersebut bagi memperhalusi dan mencapai kata sepakat kerjasama-kerjasama jangka masa pendek dan jangka masa panjang khususnya bagi tahun 2025 ini sebelum sesi mengadap ini berlangsung.
CUMT yang terletak di Phnom Penh telah mula menjadi pusat pengajian pada tahun 2014 oleh cendekiawan Kemboja dan merupakan universiti yang pengasasnya adalah warga asing dan warga Kemboja (Khmer) yang mempunyai kepakaran dan pengalaman bertahun-tahun dalam sektor pembangunan modal insan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Universiti ini juga telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara dalam pertukaran program pengajian melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU).
Bagi yang berhasrat untuk menyumbang kepada tabung kutipan dana bagi pembinaan kampus baharu universiti swasta tersebut, ia masih memerlukan sekitar RM7 juta untuk fasa pertama, dengan fasa-fasa seterusnya akan dijalankan secara berperingkat.
Sumbangan boleh disalurkan menerusi pautan https://infaqpay.my/plus/new-campus-maips dengan jumlah minimum sebanyak RM200. – JM