Persidangan Antarabangsa Langkawi 2025 dibarisi 30 cendekiawan, profesional Muslim

Oleh: Sholina Osman
25 JAN 2025

Langkawi bakal menjadi medan perbincangan intelektual apabila 30 cendekiawan dan profesional Muslim, termasuk 17 pakar antarabangsa dan tujuh tempatan, berkumpul di Persidangan Antarabangsa Langkawi 2025 pada 1 hingga 2 Februari 2025 nanti.

Dekan Pusat Pengajian Perakuanan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) Prof Dr Ram Al Jaffri Saad berkata, persidangan ini dianjurkan oleh International Khayr Ummah Foundation (IKAF) dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Katanya, persidangan ini diadakan seiring dengan faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang disokong oleh Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang semakin relevan dalam pelbagai bidang terutama dalam mengarah dan membimbing organisasi dan komuniti untuk mencapai kesejahteraan sejagat.

NILAI-NILAI AGAMA

Memandangkan prinsip SDG yang selari dengan nilai-nilai agama yang dilihat dapat membantu keputusan yang bijak dan bertanggungjawab dalam kelestarian alam, keadilan sosial dan tadbir urus yang baik maka cendekiawan dan ulama ini di jemput sebagai penceramah untuk memberikan pandangan mereka dalam konteks Islam.

Penceramah yang dijemput ialah Dr. Zakir Naik (Malaysia), Dr. Omar Suleiman (USA), Dr Muhammad Salah (Egypt), Sheikh Yusuf Estes (USA), Sheikh Assim Al-Hakeem (Saudia Arabia), Dr Sajid Umar (UK), Shaikh Yusuf Estes (USA), Sheikh Abdul Raheem Green (UK), Dr Bilal Philips (Canada), Dr Ahmed Ibn Saifuddin (Saudi Arabia), Shaikh Waleed Basyouni (USA), Shaikh Abdur Raheem McCarty (USA), Shaikh Saeed Rageah (Canada), Shaikh Alaa Al Sayed (Canada), Dr Haitham Al Haddad (UK), Shaikh Hussain Yee (Malaysia), Shaikh Yusuf Idris (sudan), Shaikh Shadi Al Suleiman (Australia) dan Shaikh Fariq Naik (Malaysia).

Selain pembentangan oleh penceramah, sesi perbincangan melibatkan pemimpin politik dan industri akan turut diadakan bagi membincangkan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui perspektif Islam.

Acara ini terbuka kepada semua peserta secara percuma dan pengunjung digalakkan membawa keluarga. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *